Sunday, March 28, 2010

Istimewa Bersama KRU

Yaaa... itulah rancangan yang sedang ditonton sekarang ini di TV2. Pagi tadi sewaktu membaca suratkhabar ada iklan tentang rancangan ini. Tergerak hati hendak menonton. Maklumlah, suatu ketika dulu memang ada fasa KRU mania.

Kalau nak ikutkan, KRU merupakan satu-satunya artis yang saya memang ikuti perjalanan karier mereka dari mula sampai sudah. Memang cukup fanatik. Setiap album saya beli, setiap keratan akhbar saya kumpul dan setiap kali mereka muncul di kaca TV, mustahil saya lepaskan peluang untuk menonton. Memandangkan zaman remaja saya dikawal rapi oleh abah dan mama, konsert mereka pun abah dan mama turut serta! Haha... tapi memang best, sebab abah dan mama pun 'layan' KRU juga. Abah dapat hargai showmanship mereka, katanya budak-budak ni nampak bersungguh kalau buat sesuatu. Mama pun terpaksa dengar lagu-lagu KRU setiap kali naik kereta, sampai naik suka. Hehe. Saya sempat ke dua konsert - KRUmania Mega Tour [yang jadi kecoh dulu sebab ditaja oleh Peter Stuyvesant- sebuah syarikat rokok dan juga dek kerana perkataan 'mania' yang bermaksud 'gila'... haih, literal sungguh!] dan juga konsert Jammin' The Nation. Sehingga ketika dulu juga pernah 'bekerja' dengan KRU kerana mereka panggil peminat setia untuk uruskan laman web mereka [saya ditugaskan untuk bahagian write-up. Sempat ke 3-4 meeting saja, lepas tu... erk... lepas tu jadi apa ya? Oh, saya ke sekolah berasrama penuh, jadi tak dapat berikan komitmen].

Kalau dikenang kembali, memang saya menggeleng sambil tersenyum sendiri. Tanya saja apa tentang KRU dulu, semua saya boleh jawab! Apa warna kegemaran Yusry? Apa kereta idaman Edry? Apa ciri-ciri wanita pilihan Norman? Haha! Lawak, lawak... Bab hafal lagu tak payah cerita, memang cukup arif. Sampaikan kalau tukar arrangement sikit pun, saya boleh tahu. Saya siap boleh ingat wardrobe mereka bertiga masing-masing! [Ini... creepy pun ada jugak! Keh keh]. Dua filem mereka- Awas dan Cinta Metropolitan saya tengok berulang-ulang sampai boleh hafal dialog! Sekarang sambil tengok rancangan ini pun, saya jadi kagum dengan diri sendiri... sebab masih hafal setiap patah perkataan dalam lagu KRU, walaupun dah lama tak dengar. [ya Allah, dance step diorang pun aku hafal kot!] Macam dah terpahat dalam permanent memory- like riding a bike!

Tapi memang tak dapat dinafikan, mereka ini adik-beradik kreatif dan kerja kuat. Sebab tu mereka boleh berjaya dan sampai ke tahap di mana mereka sekarang ni. Ada visi. Mereka tahu apa yang mereka mahukan. Bermula sebagai pelopor kumpulan rap di Malaysia, mereka tahu yang mereka takkan boleh "Yo! Yo!" sampai ke tua. Jadi dari awal lagi mereka sudah mula bina empayar. Kematangan KRU boleh dilihat dengan jelas melalui progres dari satu album ke album yang lain.

Mahu 'bedah'? Ayuh!

1992- Album Canggih. Ah, album ni masih kebudak-budakan [mana taknya, kalau tak silap, masa ni Edry sekolah pun belum habis! Hehe]. Masing-masing pakai T-shirt dan topi. Identiti masih belum begitu jelas. Lagu-lagu kebanyakannya 'lagu bercakap', di mana hanya chorus ada melodi, verse semuanya rap. Norman sebagai frontman memonopoli sebab dia yang paling pandai rap. Lagu popular: Cherrina [tak mustahil kalau ada orang tak pernah dengar].

1993- Album ReKRUed. Di sini dah nampak sedikit keberanian. Verse dah mula berbunyi seperti lagu betul. Konsert pertama juga berdasarkan album ini. Identiti lebih street, lebih cool. Sudah pandai pakai baju army pattern. Yusry mula mendapat perhatian kerana diberi peluang menjadi vokalis [dan nampak macam dia yang paling hensem! Haha! Semua pun tergila-gila kat Yusry masa ni, sebab ada aura malu-malu]. Lagu popular: Mengerti [siapa tak pernah dengar lagu ni, konpem duduk kat negara/planet lain masa tu!].

1994- Album mini Awas. KRU sudah mula bertapak. Populariti makin meningkat. Ada 6 lagu saja dalam album ni, tapi larisnya mak aihhhh! KRU mula dijemput untuk banyak rancangan TV- termasuklah In Person: KRU yang dikelolakan oleh Tiara Jacquelina ketika itu. KRU masuk Juara Lagu '94 untuk lagu Mengerti [lagu ini masih dimuatkan dalam album mini dek kerana popularitinya]. Yeah, siapa boleh lupa efek api atas pentas yang dibawa oleh KRU. Masa tu ramai peminat KRU bengang sebab KRU tak berjaya merangkul anugerah Lagu Pop Rock Terbaik dan Persembahan Terbaik kerana kalah di tangan sifu M. Nasir, kih kih... Tapi rasanya tahun ini KRU menang anugerah AIM mereka yang pertama, ke... tahun berikutnya? Something like that... [nak cover ni, konon-konon macam tak fanatik sangat =p]

1995- Album Awas Da' Soundtrack. Album ini berdasarkan filem pertama lakonan mereka- Awas Da' Movie. Maka seronoklah semua peminat sebab dapat tengok tiga beradik ni berlakon. Filem tak best pun boleh jadik best. KRU juga sibuk dengan Awas Da' Konsert. Imej ala gangster, tapi clean gangster [aku ni main buat je term sendiri kan?]. Dari album ini sendiri sudah mula terlihat kematangan KRU dalam penghasilan lagu. Mereka sedar yang mereka mula menjadi ikon dan idola remaja. Lagu-lagu seperti Negatif dan Salah Siapa sarat dengan mesej, tapi rancak dan sedap didengar. Siap ada lagu raya- Malam Kita [yang langsung tak bunyi macam lagu raya]. KRU semakin serius dalam industri. Syarikat mereka KRU Berhad, sudah mula menunjuk belang samar-samar dengan pengambilan artis di bawah naungan mereka sendiri, dan sudah mula meninjau pasaran luar negara selain rantau Asia.

1996- Album Ooh! La! La! one of my personal favorites. Juga merupakan album runut bunyi bagi filem kedua mereka Cinta Metropolitan. Album ini ada kepelbagaian, dan lagu-lagu balada mereka juga lebih bermutu. Tahun ini juga, mereka hasilkan album anak didik pertama mereka- Elite iaitu Catwalk. Walaupun album Ooh! La! La! ternyata merupakan album terbaik mereka setakat itu, ada ura-ura mengatakan yang populariti KRU mulai menurun. Antara faktor-faktornya: penukaran imej secara mengejut [pertama kali kelihatan Norman dan Yusry berambut panjang, dan Edry botakkan kepala- tidak diterima begitu baik oleh peminat dek kerana stigma rambut panjang dan kepala botak = budak nakal/budak jahat di ketika itu], pengaruh boyband dari Barat seperti Backstreet Boys dan N'Sync dan juga kegagalan filem Cinta Metropolitan di pawagam.

1997- Album kompilasi pertama KRU diterbitkan iaitu KRUmania, selari dengan konsert KRUmania Mega Tour. Nampak seperti KRU menggunakan strategi stalling- keluarkan album kompilasi [hanya dengan satu lagu baru iaitu Fanatik... Oh ya! Juga kecoh tentang nyanyian 'duet' KRU dan P.Ramlee menerusi lagu Getaran Jiwa. Siap sampai ada keluar fatwa. Looking back, I wonder if it was just a publicity stunt. KRU ni memang bijak] sementara memikirkan langkah seterusnya untuk idea baru supaya terus kekal bertapak di dalam industri.

1998- Album Inggeris pertama KRU diterbitkan. KRU bertindak kreatif dengan sentiasa mencari kelainan. Definitely my favourite! Safe to say, semua lagu dalam album ni memang best. Buat pertama kali, KRU 'buka pintu' kepada komposer lain untuk lagu dalam album mereka. Selama ini mereka buat semua lagu sendiri, tapi kali ini [sebagai gimik, mungkin] mereka mengambil komposer antarabangsa seperti Dianne Warren yang pernah membuat lagu untuk artis antarabangsa seperti Celine Dion. Tahun ini juga, KRU diberi mandat untuk membuat album runut bunyi bagi filem animasi pertama Malaysia- Silat Lagenda. Artis-artis terkenal tanahair seperti Ella, Zainal Abidin, Ning Baizura dan Sheila Majid mendendangkan lagu-lagu ciptaan KRU. Mereka maju beberapa tapak lagi.

1999- Album Formula Luarbiasa. Aiseyman, di sini jelas KRU sudah mula hilang taring. Kedua-dua lagu single mereka, Formula dan juga Luarbiasa gagal menarik perhatian. Lagu-lagu lain juga biasa-biasa saja. Tapi syarikat KRU Berhad sudah cukup kukuh untuk menampung penurunan populariti mereka sebagai penyanyi, dan mereka mula diangkat sebagai usahawan pula kerana mula melahirkan artis-artis baru di bawah naungan mereka, serta mula berjinak-jinak dalam bidang perfileman.

2000- Masih cuba mencari kelainan, refused to go down without a fight... KRU muncul dengan album Tyco. Album yang menampilkan personaliti virtual mereka masing-masing [macam Gorillaz yang merupakan identiti virtual bagi kumpulan Blur]. Lagu Bidadari berkumandang di stesen-stesen radio. Tapi selepas satu album, Tyco berkubur begitu sahaja. KRU kembali menjadi KRU.

2000- Album KRUjaan. Cuma satu lagu yang menyerlah iaitu Impak Maksima.

Album-album selepas ini, saya dah mula tak beli. Cuma dengar single-single mereka seperti Perpisahan Terasing, Gerenti Beres, Terhangat di Pasaran. Walaupun album mereka secara keseluruhannya tak menyengat macam dulu [rasanya album Krunisme saya ada beli juga... Hah! Konpem saya beli! Siap ada ulasan kat blog dolu-dolu lagi. Berminat? Tengok sini. Juga ada ulasan tentang filem pertama arahan Yusry iaitu Cicakman di sini] tapi ternyata KRU sudahpun meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam industri muzik tanahair.

They will definitely go down in history...

Here's to 18 years of the Kumpulan Rap Unggul
and the brothers Norman, Yusry and Edry Abdul Halim...

Monday, March 22, 2010

Cikgu Oh Cikgu!

Entah kenapa ya... dua tiga menjak ini secara kebetulan karya saya semuanya berkisar tentang cikgu. Babak novel bersiri [S.S.S.] yang terbaru di Kapasitor.net tentang karakter sentral mencari semula jati diri dengan berjumpa cikgu sekolah lama. Beberapa minggu lepas, tergerak hati hendak menulis tentang cikgu juga, dan alhamdulillah karya tersebut berjudul Cikgu Din tersiar di Berita Minggu baru-baru ini. Sekarang ini sedang dalam proses menulis skrip pula, juga kebanyakan karakternya cikgu!

Ada apa dengan cikgu? Kenalan-kenalan rapat yang benar-benar mengenali saya pasti tahu yang saya memang sejak dari kecil menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru. Bagi saya, seseorang guru itulah yang paling boleh memberi impak dalam kehidupan seorang anak sekolah. Zaman sekolah ini lazimnya zaman jiwa muda, darah panas. Kebanyakan masa pula dihabiskan di sekolah. Gurulah yang memainkan peranan dalam membentuk sahsiah pelajar. Kadangkala mereka mencungkil masalah yang tak mungkin dapat dicungkil oleh ibu-bapa pelajar itu sendiri. Guru jugalah penyimpan segala rahsia. Jika pendekatannya betul, boleh mengubah hala tuju pelajar. Sepanjang hayat akan diingati.

Cikgu oh cikgu! Nak kata dah dekat dengan Hari Guru, taklah begitu dekat. Galak pula saya menulis tentang cikgu. Tapi hakikatnya, cikgu itu perlu disebut dan diingat setiap masa. Dengan penghormatan sebegini, cikgu-cikgu sekalian juga diharap terus cemerlang mendidik anak-anak negara- supaya mereka tidak mudah diperlekeh dan diperbodoh-bodohkan, apatah lagi memperbodohkan diri sendiri.

Wednesday, March 3, 2010

Bulan Produktif Karya

Tersenyum lebar sendiri...

Minggu lepas dapat kiriman dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpen saya telah diterbitkan untuk majalah Tunas Cipta keluaran Mac 2010. Keluaran April 2010 nanti pula, ulasannya pula akan keluar. Gembira bukan kepalang mengenangkan ada orang selain orang-orang tersayang yang sanggup meluangkan masa membaca dan menilai karya saya.



Sebentar tadi pula, tergerak hati hendak membelek majalah Mingguan Wanita keluaran terbaru [5-10 Mac 2010]. Wahhh... muka depannya si artis jelita Maya Karin. Dan di dalamnya... satu lagi hasil nukilan saya. Alhamdulillah. Walaupun tajuk asalnya [Baliklah, Cik Su!] telah ditukar kepada tajuk yang lebih komersial iaitu Lara di Hati, nama saya tetap tertera sebagai penulis dan jalan ceritanya tidak diubah sedikit pun. Seronok juga dapat berkongsi glamer dengan Maya Karin, haha!



Sebentar lagi hendak mencari Dewan Kosmik pula. InsyaAllah, jika mengikut maklumbalas daripada editor melalui e-mel, satu lagi karya bakal tersiar di situ =)

Terima kasih buat semua yang tak putus-putus memberikan galakan dan sokongan...

p/s: sesi penggambaran ADTS bakal bermula! teruja teruja!

Thursday, February 25, 2010

Berdesing!

Sudah lebih 24 jam perut kosong. Jadi bila terpandang saja sambal berlado masakan mama, terus terangkat selera. Tapi, masuk saja sambal berlado dalam mulut, mata saya jadi bulat. Saya pandang abang, dia juga begitu. "Ma, apsal berdesing sangat sambal nih? Cili apa mama pakai?"

"Kan Abang Apis dah pesan, sempena musim perayaan ni, cili ni je yang ada"

Abang Apis ini sepupu saya. Orang berniaga nasi lemak. Bahan mentah untuk buat nasi lemak itu dah jadi sebahagian dari hidup dia. Maklumlah, periuk nasi. Kenalah jaga. Katanya cili yang tinggal cuma cili berdesing tu- cili Bangi namanya [adakah kerana cili ini hanya boleh didapati di Bangi? Uish, payah tu. Musti tak banyak mana] sehinggalah musim perayaan tamat.

Hairan. Ke mana perginya cili? Kenapa bila musim perayaan, cili jadi terhad? Rayanya pun Gong Xi Fa Chai. Ke mana hilangnya semua cili?

Ini adalah antara persoalan yang akan sentiasa berlegar, tapi tak mungkin dapat dijawab. Kalau dijawab secara sinikal, katanya kita ni tak sayangkan negara pula.

Samalah seperti persoalan "Kenapa kita hantar orang ke angkasa untuk kaji sel barah? Orang yang berpenyakitnya di bumi, kenapa sampai perlu ke angkasa? Kenapa perlu belanja sampai RM 102 juta untuk buat begitu?"

Saya sahut dengan satu situasi [ini kisah benar ye]...

Ada sukarelawan datang minta derma untuk membina sebuah pusat rawatan untuk kanak-kanak cerebral palsy. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit ini mengalami rencatan pertumbuhan otak. Ia mungkin berpunca dari saat dia dalam rahim, ketika dilahirkan ataupun setelah dilahirkan. Mungkin kerana jangkitan, mungkin juga kerana sebarang kemalangan yang berlaku di mana-mana jangka waktu yang tiga tadi. Masalahnya pelbagai: masalah penglihatan, pendengaran, otot dan sebagainya. Serba tak kena. Simpati bukan sahaja buat kanak-kanak itu, tetapi buat mereka yang menjaganya. Perlukan banyak sokongan.

Saya tanyakan pada sukarelawan ini "Ada dapat bantuan kerajaan?"

"Ada" jawabnya.

"Berapa?"

"RM 10 ribu"

=)

Sunday, February 14, 2010

Dilema Seorang Amfibia

Malam tadi kali kedua menghadiri rehearsal Aku, Dia dan Tong Sampah. Sebuah filem projek pelajar-pelajar tahun akhir program ijazah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM Puncak Perdana, dan insyaAllah, bakal menerjah pawagam. Tenaga produksinya terdiri daripada sekumpulan anak-anak muda yang punya kesungguhan dan minat yang mengagumkan [jika berminat mengetahui tentang perkembangan filem ini, anda boleh ke sini]

Saya sendiri sudah lama tidak terlibat secara langsung di dalam sebuah produksi, dan ini pula pertama kali menjadi sebahagian dari produksi filem [selama ini sekadar membuat produksi teater kecil-kecilan di universiti]. Keseronokannya bukan sesuatu yang dapat diungkap dengan kata-kata [ecewahhh...]. Sejak kecil saya tidak pernah melepaskan peluang terlibat dengan seni persembahan. Kata saya pada tenaga produksi ADTS ketika sesi pengenalan dengan mereka, "Anda tidak tahu betapa saya ingin bertukar tempat dengan anda."

Seni persembahan suatu impian tergendala. Dan hanya bila impian itu masuk gear pertama [mungkin sekarang ni dah gear kedua kot... ke ketiga?], tempoh penganggur professional/penulis sepenuh masa saya hampir berakhir. Dua minggu lepas, fail yang saya beli khas untuk meletakkan karya-karya yang tersiar telah diganti dengan sijil-sijil yang diperlukan untuk temuduga masuk kerja.

Tapi minggu lepas, muncul 'tanda-tanda' yang tak dijangka...

# kerja menulis masuk dalam bentuk projek yang agak besar, disertakan dengan bayaran awal
# bermulanya penglibatan saya secara langsung dengan ADTS
# temuduga kerja ditangguhkan [Raya Cina daa...]

Semangat yang cuba saya bakar untuk masuk kerja seolah-olah perlahan-lahan dipadamkan oleh hujan renyai yang lembut dan menyegarkan.

Berilah saya kuasa meramal. Dah penat bergaduh antara gerak hati dan kuasa minda.

Tuesday, February 9, 2010

"I Lap Yuu ...... I Het Yuh!!!"

Baru-baru ini kecoh hal Fahrin Ahmad dan Linda Onn. Si Linda kata Fahrin kaki pukul, si Fahrin pula menitis air mata menafikannya. Dia mahu Linda pohon maaf, Linda pula kata tak kisah diheret ke mahkamah atas nama "kebenaran". Dalam kekecohan ini, saya tertarik pada artikel Aznil Nawawi di Harian Metro Ahad lepas yang berjudul 'Pendekatan dan Natijah'.

*Anda boleh baca artikel tersebut di sini.

Selama ini saya memang mengagumi Aznil Nawawi sebagai seorang yang bekerja keras dalam menjadi seorang penghibur yang baik, tetapi Ahad lepas kekaguman saya bertambah terhadapnya sebagai seorang kolumnis. Dengan begitu bijaksana dia mengupas isu cerai-berai dan turun-naik mahkamah di kalangan artis. Sinis tapi berhemah; laksana Abang Long yang lebih dulu makan garam menasihati adik-adiknya.

Perang Linda-Fahrin yang dikontroversikan ini sepatutnya bukan sekadar dijadikan buah mulut dan ejekan semata-mata, sebaliknya menjadi cermin kepada masyarakat kita sekarang ini, kerana ia bukan sekadar berlaku di kalangan artis. Terlalu banyak kes-kes seperti ini berlaku. Semalam kata sayang, esok kata benci. Minggu lepas peluk cium, minggu ni sepak terajang. Tahun lepas rancang nak kahwin, tahun ni rancang nak cerai.

Ikut kata abah, "Diorang buat kahwin ni macam main masak-masak. Diorang tak tahu yang diorang tu sendiri separuh masak!"

Memang benar; soal kematangan penting dalam institusi perkahwinan. Nak kahwin mahu, tapi peranan masing-masing tidak tahu. Si suami kata "Awak kena hormat saya!" tapi tiada ciri-ciri pemimpin keluarga. Si isteri pula kata "I modern-day woman, okay! You jangan nak kontrol I!" Punyalah pentingkan kerjaya, makan-minum-pakai suami tak terjaga. Kalau belum sempat beranak dah cerai, satu hal. Ni dah beranak-pinak, sibuk turun-naik mahkamah. Anak-anak sudahlah tidak cukup perhatian, keperluan dan kasih sayang... ke sekolah diejek pula, "Weyh, orang panggil bapak ko Tiger Woods Malaysia kot!"... "Oi, semalam aku nampak gambar ko dengan bakal mak tiri ko kat suratkhabar, pastu mak ko mengamuk"

Apa nak jadi?

Siang tadi terdengar pula di radio mengatakan bakal suami isteri perlu menjalani kursus perkahwinan yang menekankan peranan sebagai ibu-bapa dan juga perlu menjalani sesi kaunseling kerana terdapat terlalu banyak kes dera kanak-kanak. Apa yang nak dihairankan... kalau cepat benar sayang jadi benci, kesabaran akan dengan mudahnya diganti dengan kemarahan.

Tiada agama di dunia ini yang menggalakkan kita bersikap ganas dan memupuk rasa benci. Semua agama mahu kita berkasih sayang. Golongan yang tidak beragama sekalipun tahu bertindak ikut logik akal [sayang = bahagia]. Jadi di mana silapnya?

Tatkala akhbar sibuk memampangkan isu liwat dan khalwat seolah-olah itu perkara yang paling penting di abad ini, masyarakat kita ke mana hala tujunya? Kian hari kian rakus dan serakah. Kahwin ibarat main pondok-pondok. Cuma fikir seronok hendak duduk atas pelamin pakai baju lawa-lawa.

Stop and think. You want a wedding, or you want a marriage?

Renungkanlah, dan saya tinggalkan anda dengan lagu dendangan Kopratasa yang sentiasa sedap di halwa telinga saya... baik melodi mahupun liriknya...

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi... sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana kau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku...


Sunday, February 7, 2010

'Tanda' yang Mengundang Tanda Tanya

Malam kelmarin ke Panggung Eksperiman Aswara, mengikut sahabat baik. Niatnya hendak menonton teater. Kami tiba lebih kurang pukul 7 petang, dan suasana kelihatan lengang. Saya fikir, "Mungkin perkara biasa" kerana selama ini saya hanya tiba di lokasi sesebuah persembahan dalam lebih kurang pukul 8 malam. Tapi sahabat baik saya mengatakan bahawa ia suatu keadaan yang aneh. Selalunya tempat itu sudah dipenuhi dengan tenaga produksi, makan-makan di tempat a la kafe di belakang panggung.

Sebaliknya kami mendapati bahawa tenaga produksi memenuhi ruang legar panggung. Rakan lama kami dari sekolah yang terlibat secara langsung dengan produksi tersebut [menguruskan tiket] kami tegur dengan ceria... sebaliknya dia membalas dengan senyuman duka berbaur serba salah...

"Show kensel la korang..."

Hah??

Terpinga-pinga saya dibuatnya. Sepanjang hidup saya menonton teater, tak pernah pula menghadapi situasi di mana sesebuah persembahan dibatalkan hanya 2-3 jam sebelum persembahan diadakan, lagi-lagi teater yang sudah berjalan selama 3 hari.

Apa masalahnya?

Maklumat awal yang saya terima adalah daripada tenaga produksi sendiri, melalui sahabat baik yang lebih mengenali mereka. Kata mereka pihak Aswara membatalkan persembahan tersebut kerana ada adegan yang dikatakan "tidak sesuai". Ada juga yang mengatakan pihak Aswara tidak berpuas hati kerana produksi hanya meletakkan "Dengan kerjasama Aswara" dan bukan "Aswara mempersembahkan..."

Dalam pada semua orang meluahkan rasa tidak puas hati sesama sendiri dan tenaga produksi sibuk ke hulu ke hilir menguruskan persembahan yang tidak jadi, saya berfikir seorang diri.

Mengikut sumber yang merupakan staf Aswara sendiri pula, rektor Aswara mendapat aduan mengatakan ada adegan 18SX tanpa permit serta tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni.

Aneh. Memang aneh. Bukankah teater itu sudah berjalan selama 3 hari? Jika ada adegan yang tidak sesuai untuk tontonan umum, bukankah sepatutnya ia sudah diketahui SEBELUM teater itu berjalan - kerana sepatutnya, 'tokey panggung' membuat preview terlebih dahulu, paling tidak pun menjenguk ketika full-dressed rehearsal. Mengapa dengan sambil-lewa memberi kebenaran membuat persembahan tanpa mengetahui intipati cerita?

Satu lagi perkara yang saya pelik - tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni? Apa ni? Ada beberapa orang dari tenaga produksi merupakan anak didik Aswara sendiri. Mereka bangga membawa nama Aswara, dan rasa berbesar hati kerana dapat pulang semula ke sekolah mereka dan mengatakan "Nah! Sedang kumanfaatkan sijil yang kau anugerahkan!" Masakan Aswara tidak turut berbangga dengan kenyataan itu?

Tak sempat saya meleraikan segala persoalan dalam kepala saya sendiri, timbul pula desas-desus lain. Katanya Aswara setuju hendak memberikan panggung, jika mereka buang adegan yang tidak diingini... dan berikan 30% daripada hasil jualan tiket kepada mereka.

Eh?? Ini apahal pula??

Tenaga produksi yang pasrah kian pasrah. Mujurlah Datuk Zahim Al-Bakry bersimpati dengan situasi mereka, lalu menawarkan lokasi baru iaitu PGLA di Jaya One. Teater yang pada mulanya berlabel 'batal' kini berlabel 'tunda'. Lagi dua minggu.

Set berharga RM 8000 dibuka dan dikemas untuk dibawa ke lokasi baru. Ada pelakon yang mungkin tidak lagi dapat melibatkan diri kerana penundaan tarikh. Kelihatan Nam Ron selaku pengarah artistik dan Faisal Mustaffa, orang kuat Rumah Anak Teater tenang dan tabah menghadapi dugaan.

Masih dirundung pelbagai tanda tanya, saya menerjah internet mencari artikel-artikel tentang teater Tanda. Satu artikel menarik perhatian saya. Judulnya 'TANDA: Ini Bukan Teater Bodekan'... oleh Faisal Mustaffa.

Saya tersenyum sinis sendirian. Mungkin saya sudah jumpa sebab sebenar pembatalan teater Tanda...

Penulis bersama Hafiz [Chan] dan Zahiril Adzim [pelakon teater Tanda]
di depan Panggung Eksperimen Aswara pada malam pembatalan teater Tanda