Saturday, April 24, 2010

KKB 240410

11 tahun dahulu...

Seorang pelajar menengah rendah ke sekolah tanpa sebarang agenda selain menuntut ilmu dan aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu juga mewakili sekolah dalam pelbagai acara syarahan dan debat, baik bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.

Tahap minat dan pemahaman dalam bidang politik: Rendah.

Guru yang rapat dengannya pernah mempersoalkan kenapa dia seperti endah tak endah tentang politik. Selalunya orang yang aktif berpersatuan dan berdebat sana-sini secara tak langsung juga minat politik. Jawabnya mudah. Tak mahu peningkan kepala. Politik ini kotor. Asalkan negara aman, maju, membangun... dapat pendidikan, dapat kerja, dapat hidup harmoni... dah. Cukup.

Badai melanda negara. Laungan "Reformasi!!" sana sini. Pulang ke rumah disambut air mata mak. Katanya Timbalan Perdana Menteri dipecat. Terkedu seketika. Terkenangkan kenalannya di sekolah, Nuha. Seorang yang happy-go-lucky, mudah mesra dengan sesiapa saja. Kenalan yang tidaklah begitu akrab, tapi tetap saling mengenali.

Esoknya ke sekolah. Nuha sudah mula bertudung. Wajahnya murung, tak ceria seperti selalu. Sambil tersenyum tawar, Nuha mengedarkan riben berwarna putih kepada semua kenalan. Apa makna riben putih itu? Reformasi! Sahut kenalan-kenalan yang lain. Dalam usia yang naif dan minat politik yang dalamnya sekadar ibarat air bah paras buku lali, riben putih dipakai di baju kurung tanda sokongan seorang teman.

Hari berikutnya guru besar terus membuat pengumumam: Memakai sebarang riben atau lencana yang tidak ada kena-mengena dengan aktiviti sekolah adalah tidak dibenarkan.

Ada yang akur, ramai yang tidak. Semangat setiakawan membara, walau ramai yang masih belum mengerti maksud reformasi. Yang kita tahu, Nuha ini rakan yang baik. Jarang sekali menyakiti hati sesiapa. Apa salahnya memberi sokongan padanya.

Sekarang...

Pelajar di usia remaja itu telah meningkat dewasa. Selesai Tingkatan 3 di sekolah yang sama dengan Nuha itu, dia ke sekolah berasrama penuh... kemudian ke kolej pra-perubatan... universiti perubatan... dan akhirnya kini menjadi penulis sepenuh masa sambil menanti untuk berkhidmat. Banyak yang telah dilihat dan dilalui, banyak lagi bakal ditempuh. Sudah tahu sedikit-sebanyak jerih-perih hidup, tapi belum cukup jeran.

Tahap minat dan pemahaman dalam bidang politik: Sederhana.

Nuha ditemui kembali. Kali ini di Hulu Selangor. Nampak kelibatnya dari jauh, berbaju kurung biru dan bertudung. Wajah dan susuk tubuhnya langsung tidak berubah. Wajahnya masih polos, dan badannya tetap kecil molek.

Sewaktu Nuha sedang bersalaman dengan makcik-makcik yang nyata mesra dengannya, bahu Nuha ditepuk lembut dari belakang. Si rakan sekolah yang ditemui setelah lebih 11 tahun memperkenalkan diri. Sangkanya mungkin Nuha tidak lagi mengingati dirinya. Tapi kadangkala, memori zaman sekolah itu lebih kuat. Ternyata Nuha masih ingat. Tak lama dapat berborak dengannya kerana sudah pasti ramai yang ingin bersalaman dengan anak tokoh ternama. Tokoh yang kemudiannya masuk ke stadium hanya dengan membonceng motosikal setelah tersekat dalam kesesakan. Namun senyum tokoh itu masih melebar mendengarkan sorakan menggegar stadium saat ketibaannya walaupun jam sudah menghampiri 12 malam.

Laungan "Reformasi!!" berkumandang lagi. 11 tahun telah berlalu. Perjuangan diteruskan. Dan setiakawan itu masih wujud. Kini dengan hati dan minda yang lebih sarat dengan ilmu.

Awas, jangan diperlekeh lagi. Anak remaja ini telah dewasa.


Monday, April 19, 2010

Dari Kertas ke Layar...

Dah lama tak menulis di sini. Sibuk dengan skrip-skrip filem... satu bentuk penulisan yang masih baru bagi saya walaupun sudah lama jadikan panggung wayang tu rumah kedua. Menonton filem dan menulis skrip filem adalah dua perkara yang amaaaat berbeza. Setiap kali menonton Academy Awards, mereka akan paparkan apa yang tertera dalam skrip dan apa yang diterjemahkan ke dalam filem ketika hendak mengumumkan calon-calon untuk skrip terbaik.

Di Malaysia, penulis skrip tidak mendapat penghargaan sebesar di Hollywood. Tak keterlaluan saya katakan, penulis skrip di sini kerjanya habis sebaik saja menyerahkan skripnya kepada orang/badan/syarikat tertentu untuk direalisasikan sebagai sebuah filem. Bayangkan, penat lelah bersengkang mata dan kadangkala mengabaikan tidur dan makan minum semata-mata untuk menghasilkan sebuah cerita yang bermutu dan lengkap segala ramuan buat santapan penonton... akan dilepaskan dari tangan kita begitu saja. Kenapa saya katakan 'begitu saja'? Sebab setiap penulis skrip tahu, sebaik sahaja skrip untuk dibawa ke layar, tak ramai yang akan bertanyakan siapa penulis skripnya. Semua orang mahu tahu siapa yang berlakon, siapa yang mengarah bahkan siapa yang menerbitkan filem itu. Jarang orang akan bertanya "Siapa punya skrip?"

Rata-rata penonton kita bila di dalam panggung, kekuatan sesebuah filem dipegang pada audio dan visualnya. Tak dinafikan, ini memang kelebihan filem berbanding dengan jenis karya lain seperti novel/cerpen ataupun lagu. Tapi sebelum berlakunya transformasi kepada audio dan visual, filem itu hanya bergantung kepada skrip. Jika pengarah itu cukup mahir, skrip yang kurang bermutu boleh dicantikkan bila menjadi filem. Jika pengarah itu bernasib baik, skrip itu sendiri sudah sedia bagus. Jika pengarah itu malas, skrip secantik mana sekalipun boleh rosak.

Tapi pokoknya tetap satu: apa saja yang kita bina, asasnya mesti kukuh. Dalam sesebuah filem, skrip saya pandang sebagai asas. Raw material. Kalau raw material tak bagus, bagaimana produk akhir nak jadi bagus? Dalam penulisan skrip, si penulis perlu fikir dari pelbagai sudut. Pembukaan cerita bagaimana yang dapat menarik perhatian penonton? Cara penceritaan bagaimana yang akan membuatkan penonton terus tertarik sehingga ke akhirnya? Karakter sentralnya mahu dipaparkan sebagai apa dan siapa? Apa pengisiannya? Cukupkah pengetahuan si penulis untuk membuat pengisian sebegitu? Adakah ruang untuk nilai komersial, paling tidak pun sedikit? Dapatkah filem itu memberi impak atau perubahan pada penonton? Dan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab...

Kesimpulannya, penulisan skrip filem bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara 'bidan terjun'. Nak main terjah saja, memang tak dapatlah. Kalau mahu, boleh. Tapi hasilnya gerenti tak memberangsangkan. Dan setiap penulis skrip harus terbuka kepada kritikan. Kerana penterjemahan dari kertas ke layar bagi setiap orang itu berbeza. Yang terbayang di minda kita mungkin tak sama dengan orang lain. Dan jika kritikan itu memberikan kita perspektif yang berbeza, kita harus mendengar dengan teliti. Kita tak mungkin dapat menghasilkan sebuah skrip yang baik seorang diri. Sebab bila menulis sesuatu yang durasinya 90-120 minit, kita berkemungkinan berdepan dengan si dinding durjana [writer's block, hehe] pada minit keberapa saja. Misi kita ialah memusnahkan dinding ni dan jalan terus. Tapi dalam keadaan terdesak, kita ambil jalan mudah dan buat lencongan. Lencongan itu mungkin tidak sebaik jalan terus asal yang kita bina. Akhirnya, jalan cerita itu tidak kemas atau bercelaru.

Kata mentor saya dalam bidang penulisan, 'the best stories are the simplest ones'. Sebab hakikatnya, filem ini cermin kehidupan. Dan kehidupan kita sehari-hari merupakan koleksi cerita-cerita biasa yang dijadikan luarbiasa dek warna-warni ragam manusia dan situasi-situasi luar jangkaan. Cara kita mengolahnya menjadikan cerita itu menarik. Itu kerja si penulis skrip.