Friday, February 11, 2011

Penulisis Prolifikus

Sila jangan Google tajuk di atas. Sesungguhnya ia bukanlah nama spesis tumbuhan baru yang dijumpai di mana-mana ceruk dunia [melainkan korang memang Google lepas tu jumpa, tu aku tak jamin la]

Baru-baru ini ketika ward round sempat berborak dengan salah seorang rakan yang juga seorang penulis [ye, tengah-tengah ward round pun aku leh borak...] Dia pernah menerbitkan sebuah novel berbahasa Inggeris, tetapi sebaik sahaja memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41 [tuuu dia, nama penuh jawatan tuh] dia tidak lagi menulis. Tiada masa, katanya. Saya setuju. Lagi-lagi dia seorang novelis. Lainlah saya yang sekadar cerpenis buat masa ini. Kalau ada cuti dua hari, mungkin masih boleh siapkan satu cerpen. Itu pun bergantung pada mood. Sejak bekerja, mudah benar putus mood. 'Rasa' tu mudah benar memejalwap ke udara, hilang begitu sahaja. Mungkin kerana setiap kali hendak mula menulis, minda pesimis bersuara, "Esok/lusa kan dah kerja. Dah tak ada masa" Tapi seminggu lepas saya berkesempatan menyiapkan satu lagi cerpen. Kejayaan yang tak seberapa ini saya kongsi bersama rakan yang saya katakan sebentar tadi. Dia menggelar saya 'penulis prolifik.'

Kui kui kui... terlepas tawa saya di situ juga. Penulis prolifik? Layakkah saya diberi gelaran itu? Hendak kemaskini blog pun jarang-jarang sekali. Novel bersiri, atau saya panggil 'novel berbabak' S.S.S. di kapasitor.net sudah lama tertunda walaupun jalan cerita sudah ada di kepala. Siap cerpen satu, dua dalam 3-4 bulan sekali sudah dikira mujur. Idea untuk buat novel... fuh, tak payah cerita... berkoyan-koyan! Tapi buatnya? Sinopsis pun belum tentu.

Hakikatnya masa saya memang dicuri oleh kerja. Bilakah agaknya tiba waktu dan ketika di mana kerja itu sendiri memanfaatkan sepenuhnya masa yang saya ada? Wallahualam tetapi harap-harap satu hari nanti tiba juga. InsyaAllah...

Bercerita mengenai cerpen yang baru saya siapkan... asalnya panjang cerpen ini ialah 14 mukasurat. Panjang tu. Sepatutnya cerpen 8-12 mukasurat, langkau 2 baris. Saya pula bertujuan untuk menghantar cerpen ini ke Berita Harian/Berita Minggu. Lagi leceh. Suratkhabar yang satu ini mengira ikut baris - tidak lebih daripada 150 baris. Cerpen saya: 250 baris. Waduh, parah ni. Macamana nak potong tanpa mencacatkan karya? Abah tercinta pernah berkata, kalau dalam industri filem, a really good director is also a good editor. Kalau diaplikasikan dalam bidang penulisan, sepatutnya prinsipnya sama juga. Jadi, saya cuba. Alih-alih, saya berjaya menjadikannya lebih kurang 150 baris. Tapi banyak bahagian-bahagian sinikal yang saya gemari terpaksa dipotong. Ceritanya jadi biasa. Tiada sindiran yang biasanya menjadi tandagaya saya [untuk makluman, 'tandagaya' ni perkataan baru yang aku reka sendiri. Sepatutnya mambawa maksud 'trademark'. Yes laa... lepas ni kena saman dengan DBP]

Berbaloikah? Hanya semata-mata untuk diterbitkan di dada akhbar? Tetapi bergunakan sesebuah karya jika tidak dibaca umum? Bernyawakah ia? Tetapi bukankah menulis itu untuk kepuasan diri? Kalau terlalu banyak dicantas hingga hilang jati diri dan jiwa karya itu, bagaimana?

Lama juga saya berfikir. Saya masih belum mencapai konklusi. Ini dinamakan korban karya... namun harus sejauh manakah ia..

...