Saturday, July 17, 2010

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - Akhir Tetapi Mula

Tanggal 9 Julai 2010, saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya buat suatu acara yang amat berbeza daripada acara-acara yang saya hadiri sebelum ini. Jika sebelum ini saya pergi untuk menonton teater dan pelbagai persembahan [juga kadangkala untuk melawat ayahanda yang sedang bekerja sewaktu dia masih di Istana Budaya dahulu... hehe], kali ini saya ke sana untuk sebuah anugerah.

Anugerah yang menjadi sebuah penanda tersendiri dalam kalendar hidup saya.

Jumaat itu, dari Melaka saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur. Lima hari saya di Melaka - kerana akhirnya saya telah dipanggil untuk menghadiri kursus induksi bagi pegawai perubatan gred UD41 [dokter lah, senang cite! panjang benor... =p] Sewaktu mula-mula menerima surat induksi, perasaan saya bercampur-baur. Gementar kerana bakal menjalani fasa baru dalam kehidupan saya... sedih kerana bakal meninggalkan label 'penulis sepenuh masa' yang saya lekatkan pada diri sejak 10 bulan yang lalu selesai saja majlis graduasi. Tapi hati sedikit lega melihatkan jadual induksi tidak akan menghalang saya daripada menghadiri majlis anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Setelah dipanggil untuk ke belakang pentas untuk menerima hadiah utama bagi kategori cerpen remaja [remajakah? haha...], terasa kerdil berdiri di kalangan penulis-penulis yang jauh lebih berpengalaman. Jika dibelek buku program, rasa-rasanya saya seorang saja yang belum pernah memenangi apa-apa anugerah atau diberi apa-apa penghargaan. Rezeki Allah - cerpen pertama saya yang diterbitkan, cerpen itulah yang telah diberi penghargaan.

Memang satu kampunglah saya jemput untuk acara itu. Bersama-sama meraikan kejayaan saya. Anugerah ini bagai acara penutup yang cukup indah bagi dunia penulisan saya selama 10 bulan ini sebelum melangkah ke alam perubatan sepenuhnya. Saya seolah-olah diberi cenderamata bagi menandakan pembabitan saya dalam bidang ini, walaupun tidak selama mana. Tapi pada masa yang sama, anugerah ini juga merupakan titik mula saya di dalam bidang penulisan. Ia kini sudah tercoret tetap dalam biodata saya supaya saya dapat melangkah lebih maju, sekaligus terus membakar semangat menulis.

Aneh kan? Akhir tetapi sebenarnya baru bermula. Doakan saya terus tegar menarikan pena walaupun sibuk melenggokkan stetoskop =)















5 comments: