Sunday, March 28, 2010

Istimewa Bersama KRU

Yaaa... itulah rancangan yang sedang ditonton sekarang ini di TV2. Pagi tadi sewaktu membaca suratkhabar ada iklan tentang rancangan ini. Tergerak hati hendak menonton. Maklumlah, suatu ketika dulu memang ada fasa KRU mania.

Kalau nak ikutkan, KRU merupakan satu-satunya artis yang saya memang ikuti perjalanan karier mereka dari mula sampai sudah. Memang cukup fanatik. Setiap album saya beli, setiap keratan akhbar saya kumpul dan setiap kali mereka muncul di kaca TV, mustahil saya lepaskan peluang untuk menonton. Memandangkan zaman remaja saya dikawal rapi oleh abah dan mama, konsert mereka pun abah dan mama turut serta! Haha... tapi memang best, sebab abah dan mama pun 'layan' KRU juga. Abah dapat hargai showmanship mereka, katanya budak-budak ni nampak bersungguh kalau buat sesuatu. Mama pun terpaksa dengar lagu-lagu KRU setiap kali naik kereta, sampai naik suka. Hehe. Saya sempat ke dua konsert - KRUmania Mega Tour [yang jadi kecoh dulu sebab ditaja oleh Peter Stuyvesant- sebuah syarikat rokok dan juga dek kerana perkataan 'mania' yang bermaksud 'gila'... haih, literal sungguh!] dan juga konsert Jammin' The Nation. Sehingga ketika dulu juga pernah 'bekerja' dengan KRU kerana mereka panggil peminat setia untuk uruskan laman web mereka [saya ditugaskan untuk bahagian write-up. Sempat ke 3-4 meeting saja, lepas tu... erk... lepas tu jadi apa ya? Oh, saya ke sekolah berasrama penuh, jadi tak dapat berikan komitmen].

Kalau dikenang kembali, memang saya menggeleng sambil tersenyum sendiri. Tanya saja apa tentang KRU dulu, semua saya boleh jawab! Apa warna kegemaran Yusry? Apa kereta idaman Edry? Apa ciri-ciri wanita pilihan Norman? Haha! Lawak, lawak... Bab hafal lagu tak payah cerita, memang cukup arif. Sampaikan kalau tukar arrangement sikit pun, saya boleh tahu. Saya siap boleh ingat wardrobe mereka bertiga masing-masing! [Ini... creepy pun ada jugak! Keh keh]. Dua filem mereka- Awas dan Cinta Metropolitan saya tengok berulang-ulang sampai boleh hafal dialog! Sekarang sambil tengok rancangan ini pun, saya jadi kagum dengan diri sendiri... sebab masih hafal setiap patah perkataan dalam lagu KRU, walaupun dah lama tak dengar. [ya Allah, dance step diorang pun aku hafal kot!] Macam dah terpahat dalam permanent memory- like riding a bike!

Tapi memang tak dapat dinafikan, mereka ini adik-beradik kreatif dan kerja kuat. Sebab tu mereka boleh berjaya dan sampai ke tahap di mana mereka sekarang ni. Ada visi. Mereka tahu apa yang mereka mahukan. Bermula sebagai pelopor kumpulan rap di Malaysia, mereka tahu yang mereka takkan boleh "Yo! Yo!" sampai ke tua. Jadi dari awal lagi mereka sudah mula bina empayar. Kematangan KRU boleh dilihat dengan jelas melalui progres dari satu album ke album yang lain.

Mahu 'bedah'? Ayuh!

1992- Album Canggih. Ah, album ni masih kebudak-budakan [mana taknya, kalau tak silap, masa ni Edry sekolah pun belum habis! Hehe]. Masing-masing pakai T-shirt dan topi. Identiti masih belum begitu jelas. Lagu-lagu kebanyakannya 'lagu bercakap', di mana hanya chorus ada melodi, verse semuanya rap. Norman sebagai frontman memonopoli sebab dia yang paling pandai rap. Lagu popular: Cherrina [tak mustahil kalau ada orang tak pernah dengar].

1993- Album ReKRUed. Di sini dah nampak sedikit keberanian. Verse dah mula berbunyi seperti lagu betul. Konsert pertama juga berdasarkan album ini. Identiti lebih street, lebih cool. Sudah pandai pakai baju army pattern. Yusry mula mendapat perhatian kerana diberi peluang menjadi vokalis [dan nampak macam dia yang paling hensem! Haha! Semua pun tergila-gila kat Yusry masa ni, sebab ada aura malu-malu]. Lagu popular: Mengerti [siapa tak pernah dengar lagu ni, konpem duduk kat negara/planet lain masa tu!].

1994- Album mini Awas. KRU sudah mula bertapak. Populariti makin meningkat. Ada 6 lagu saja dalam album ni, tapi larisnya mak aihhhh! KRU mula dijemput untuk banyak rancangan TV- termasuklah In Person: KRU yang dikelolakan oleh Tiara Jacquelina ketika itu. KRU masuk Juara Lagu '94 untuk lagu Mengerti [lagu ini masih dimuatkan dalam album mini dek kerana popularitinya]. Yeah, siapa boleh lupa efek api atas pentas yang dibawa oleh KRU. Masa tu ramai peminat KRU bengang sebab KRU tak berjaya merangkul anugerah Lagu Pop Rock Terbaik dan Persembahan Terbaik kerana kalah di tangan sifu M. Nasir, kih kih... Tapi rasanya tahun ini KRU menang anugerah AIM mereka yang pertama, ke... tahun berikutnya? Something like that... [nak cover ni, konon-konon macam tak fanatik sangat =p]

1995- Album Awas Da' Soundtrack. Album ini berdasarkan filem pertama lakonan mereka- Awas Da' Movie. Maka seronoklah semua peminat sebab dapat tengok tiga beradik ni berlakon. Filem tak best pun boleh jadik best. KRU juga sibuk dengan Awas Da' Konsert. Imej ala gangster, tapi clean gangster [aku ni main buat je term sendiri kan?]. Dari album ini sendiri sudah mula terlihat kematangan KRU dalam penghasilan lagu. Mereka sedar yang mereka mula menjadi ikon dan idola remaja. Lagu-lagu seperti Negatif dan Salah Siapa sarat dengan mesej, tapi rancak dan sedap didengar. Siap ada lagu raya- Malam Kita [yang langsung tak bunyi macam lagu raya]. KRU semakin serius dalam industri. Syarikat mereka KRU Berhad, sudah mula menunjuk belang samar-samar dengan pengambilan artis di bawah naungan mereka sendiri, dan sudah mula meninjau pasaran luar negara selain rantau Asia.

1996- Album Ooh! La! La! one of my personal favorites. Juga merupakan album runut bunyi bagi filem kedua mereka Cinta Metropolitan. Album ini ada kepelbagaian, dan lagu-lagu balada mereka juga lebih bermutu. Tahun ini juga, mereka hasilkan album anak didik pertama mereka- Elite iaitu Catwalk. Walaupun album Ooh! La! La! ternyata merupakan album terbaik mereka setakat itu, ada ura-ura mengatakan yang populariti KRU mulai menurun. Antara faktor-faktornya: penukaran imej secara mengejut [pertama kali kelihatan Norman dan Yusry berambut panjang, dan Edry botakkan kepala- tidak diterima begitu baik oleh peminat dek kerana stigma rambut panjang dan kepala botak = budak nakal/budak jahat di ketika itu], pengaruh boyband dari Barat seperti Backstreet Boys dan N'Sync dan juga kegagalan filem Cinta Metropolitan di pawagam.

1997- Album kompilasi pertama KRU diterbitkan iaitu KRUmania, selari dengan konsert KRUmania Mega Tour. Nampak seperti KRU menggunakan strategi stalling- keluarkan album kompilasi [hanya dengan satu lagu baru iaitu Fanatik... Oh ya! Juga kecoh tentang nyanyian 'duet' KRU dan P.Ramlee menerusi lagu Getaran Jiwa. Siap sampai ada keluar fatwa. Looking back, I wonder if it was just a publicity stunt. KRU ni memang bijak] sementara memikirkan langkah seterusnya untuk idea baru supaya terus kekal bertapak di dalam industri.

1998- Album Inggeris pertama KRU diterbitkan. KRU bertindak kreatif dengan sentiasa mencari kelainan. Definitely my favourite! Safe to say, semua lagu dalam album ni memang best. Buat pertama kali, KRU 'buka pintu' kepada komposer lain untuk lagu dalam album mereka. Selama ini mereka buat semua lagu sendiri, tapi kali ini [sebagai gimik, mungkin] mereka mengambil komposer antarabangsa seperti Dianne Warren yang pernah membuat lagu untuk artis antarabangsa seperti Celine Dion. Tahun ini juga, KRU diberi mandat untuk membuat album runut bunyi bagi filem animasi pertama Malaysia- Silat Lagenda. Artis-artis terkenal tanahair seperti Ella, Zainal Abidin, Ning Baizura dan Sheila Majid mendendangkan lagu-lagu ciptaan KRU. Mereka maju beberapa tapak lagi.

1999- Album Formula Luarbiasa. Aiseyman, di sini jelas KRU sudah mula hilang taring. Kedua-dua lagu single mereka, Formula dan juga Luarbiasa gagal menarik perhatian. Lagu-lagu lain juga biasa-biasa saja. Tapi syarikat KRU Berhad sudah cukup kukuh untuk menampung penurunan populariti mereka sebagai penyanyi, dan mereka mula diangkat sebagai usahawan pula kerana mula melahirkan artis-artis baru di bawah naungan mereka, serta mula berjinak-jinak dalam bidang perfileman.

2000- Masih cuba mencari kelainan, refused to go down without a fight... KRU muncul dengan album Tyco. Album yang menampilkan personaliti virtual mereka masing-masing [macam Gorillaz yang merupakan identiti virtual bagi kumpulan Blur]. Lagu Bidadari berkumandang di stesen-stesen radio. Tapi selepas satu album, Tyco berkubur begitu sahaja. KRU kembali menjadi KRU.

2000- Album KRUjaan. Cuma satu lagu yang menyerlah iaitu Impak Maksima.

Album-album selepas ini, saya dah mula tak beli. Cuma dengar single-single mereka seperti Perpisahan Terasing, Gerenti Beres, Terhangat di Pasaran. Walaupun album mereka secara keseluruhannya tak menyengat macam dulu [rasanya album Krunisme saya ada beli juga... Hah! Konpem saya beli! Siap ada ulasan kat blog dolu-dolu lagi. Berminat? Tengok sini. Juga ada ulasan tentang filem pertama arahan Yusry iaitu Cicakman di sini] tapi ternyata KRU sudahpun meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam industri muzik tanahair.

They will definitely go down in history...

Here's to 18 years of the Kumpulan Rap Unggul
and the brothers Norman, Yusry and Edry Abdul Halim...

5 comments:

  1. Teringat zaman sekolah dulu....

    ReplyDelete
  2. wah ned, memang hardcore fans lah awak ni. siap boleh bedah satu persatu tu. he3x.
    tapi memang three brothers ni hebat. siapa boleh lupa mengerti, awas dan janji tinggal janji. my last kru album was the english album. lepas tu tenggelam timbul je perasaan minat tu. definately bukan hardcore fans lah i ni. :P

    ReplyDelete
  3. saya?? hardcore fan?? [ceit, buat-buat tak caye lak... keh keh] wah, kire orait la tu fara ada english album. tak ramai yang ada english album diorang, sedangkan album tu antara yang terbaik.

    ReplyDelete
  4. hehehe ... peminat KRUuuuuu ...

    ReplyDelete
  5. mane nk tgk rancangan tu??..ade kt internet x??

    ReplyDelete