Sunday, February 7, 2010

'Tanda' yang Mengundang Tanda Tanya

Malam kelmarin ke Panggung Eksperiman Aswara, mengikut sahabat baik. Niatnya hendak menonton teater. Kami tiba lebih kurang pukul 7 petang, dan suasana kelihatan lengang. Saya fikir, "Mungkin perkara biasa" kerana selama ini saya hanya tiba di lokasi sesebuah persembahan dalam lebih kurang pukul 8 malam. Tapi sahabat baik saya mengatakan bahawa ia suatu keadaan yang aneh. Selalunya tempat itu sudah dipenuhi dengan tenaga produksi, makan-makan di tempat a la kafe di belakang panggung.

Sebaliknya kami mendapati bahawa tenaga produksi memenuhi ruang legar panggung. Rakan lama kami dari sekolah yang terlibat secara langsung dengan produksi tersebut [menguruskan tiket] kami tegur dengan ceria... sebaliknya dia membalas dengan senyuman duka berbaur serba salah...

"Show kensel la korang..."

Hah??

Terpinga-pinga saya dibuatnya. Sepanjang hidup saya menonton teater, tak pernah pula menghadapi situasi di mana sesebuah persembahan dibatalkan hanya 2-3 jam sebelum persembahan diadakan, lagi-lagi teater yang sudah berjalan selama 3 hari.

Apa masalahnya?

Maklumat awal yang saya terima adalah daripada tenaga produksi sendiri, melalui sahabat baik yang lebih mengenali mereka. Kata mereka pihak Aswara membatalkan persembahan tersebut kerana ada adegan yang dikatakan "tidak sesuai". Ada juga yang mengatakan pihak Aswara tidak berpuas hati kerana produksi hanya meletakkan "Dengan kerjasama Aswara" dan bukan "Aswara mempersembahkan..."

Dalam pada semua orang meluahkan rasa tidak puas hati sesama sendiri dan tenaga produksi sibuk ke hulu ke hilir menguruskan persembahan yang tidak jadi, saya berfikir seorang diri.

Mengikut sumber yang merupakan staf Aswara sendiri pula, rektor Aswara mendapat aduan mengatakan ada adegan 18SX tanpa permit serta tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni.

Aneh. Memang aneh. Bukankah teater itu sudah berjalan selama 3 hari? Jika ada adegan yang tidak sesuai untuk tontonan umum, bukankah sepatutnya ia sudah diketahui SEBELUM teater itu berjalan - kerana sepatutnya, 'tokey panggung' membuat preview terlebih dahulu, paling tidak pun menjenguk ketika full-dressed rehearsal. Mengapa dengan sambil-lewa memberi kebenaran membuat persembahan tanpa mengetahui intipati cerita?

Satu lagi perkara yang saya pelik - tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni? Apa ni? Ada beberapa orang dari tenaga produksi merupakan anak didik Aswara sendiri. Mereka bangga membawa nama Aswara, dan rasa berbesar hati kerana dapat pulang semula ke sekolah mereka dan mengatakan "Nah! Sedang kumanfaatkan sijil yang kau anugerahkan!" Masakan Aswara tidak turut berbangga dengan kenyataan itu?

Tak sempat saya meleraikan segala persoalan dalam kepala saya sendiri, timbul pula desas-desus lain. Katanya Aswara setuju hendak memberikan panggung, jika mereka buang adegan yang tidak diingini... dan berikan 30% daripada hasil jualan tiket kepada mereka.

Eh?? Ini apahal pula??

Tenaga produksi yang pasrah kian pasrah. Mujurlah Datuk Zahim Al-Bakry bersimpati dengan situasi mereka, lalu menawarkan lokasi baru iaitu PGLA di Jaya One. Teater yang pada mulanya berlabel 'batal' kini berlabel 'tunda'. Lagi dua minggu.

Set berharga RM 8000 dibuka dan dikemas untuk dibawa ke lokasi baru. Ada pelakon yang mungkin tidak lagi dapat melibatkan diri kerana penundaan tarikh. Kelihatan Nam Ron selaku pengarah artistik dan Faisal Mustaffa, orang kuat Rumah Anak Teater tenang dan tabah menghadapi dugaan.

Masih dirundung pelbagai tanda tanya, saya menerjah internet mencari artikel-artikel tentang teater Tanda. Satu artikel menarik perhatian saya. Judulnya 'TANDA: Ini Bukan Teater Bodekan'... oleh Faisal Mustaffa.

Saya tersenyum sinis sendirian. Mungkin saya sudah jumpa sebab sebenar pembatalan teater Tanda...

Penulis bersama Hafiz [Chan] dan Zahiril Adzim [pelakon teater Tanda]
di depan Panggung Eksperimen Aswara pada malam pembatalan teater Tanda

1 comment:

  1. adek beradek, bak kata ZA.

    susah aku nk ulas dr kedudukan aku. Terkilan. Cuma, kalau nk orang lain layan kau mcm org, kau pun kena layan org lain mcm org. kan?

    ReplyDelete