Wednesday, December 30, 2009

Susahnya Senang, Senangnya Susah

Entah ke mana fikiran melayang hari ini. Jauh...

Mungkin sebab sudah akhir tahun. Secara lazimnya saya dilanda melankolia. Memikirkan kembali apa yang telah dilalui sepanjang tahun ini, dan apa pula bakal menanti di tahun hadapan. Tapi tidak pula terasa seperti hendak memberi ayat klise "Pantasnya waktu berlalu." Setahun itu cukup panjang untuk mengumpul segala pahit-manis, suka-lara.

Kereta kesayangan meragam. Lima tahun dipakai tanpa sebarang masalah, hujung tahun ni ada saja yang tak kena. Dilanggar oranglah, gegar bagai dilanda gempa bumi skala Richter 10 lah. "Jual sajalah! Dah sampai masanya!" kata mama. Dah naik jeran mempertahankan si Kelly [nama kereta]. Sudah tiada daya lagi. Semua alasan untuk tidak menjualnya sudah tidak bisa digunapakai. Dulu saya gunakan alasan wang. Kata orang tua saya wang tak menjadi hal [bukanlah nak kata ada wang berkepuk-kepuk, tapi ada jika perlu].

Kelly itu dah banyak lalui susah-senang bersama.

Bercakap tentang susah-senang, hari itu saya syorkan sebuah buku yang menjadi kegemaran saya kepada sahabat. Karya Ellina bt. Abd. Majid yang berjudul "Perhaps in Paradise." Ahhh... cerita yang disulam dengan begitu indah, lengkap asam garamnya [judul filem baru Abah! Haha, sempat lagi promo =p]. Berbeza dengan pendekatan kebanyakan novel period zaman 60-an yang selalunya hanya ingin memaparkan kehidupan orang susah [mungkin kerana ia lebih dramatik?], ia memaparkan kehidupan orang senang di zaman itu dan kesusahan yang dihadapi mereka.

Kata sahabat saya dia pasti akan menyukai buku tersebut. Dia sudah naik muak berhadapan dengan tanggapan orang yang mengatakan dia 'anak orang senang'. Bagi mereka, dia langsung tiada kesusahan dalam hidupnya, hanya kerana dia selesa dan terlebih cukup makan pakai. Padahal orang senang itu ada kesusahannya yang tersendiri. Dan orang susah pula kadangkala mendapat kesenangan secara percuma kerana orang sentiasa sedia menghulurkan bantuan pada orang susah.

Hakikatnya kita semua punyai masalah. Ada orang yang kasi pagi makan pagi, tapi hidupnya cukup bahagia. Ada orang yang akaun banknya sampai dua, tiga kerana tidak cukup tempat hendak menyimpan wang, tetapi jiwanya tak tenteram.

Apa yang penting?

Anak orang senang harus tegar hadapi susah, dan anak orang susah pula jangan mudah alpa bila diberi senang.

Monday, December 28, 2009

Teruja...


Hari Ahad yang lalu sepertimana rutin mingguan saya, saya dan mama berkunjung ke kedai nasi lemak Mak Uda/Abang Apis untuk bersantai sambil menikmati nasi lemak 'terbaekkk'. Entah kenapa, pagi itu hati saya kuat hendak mencari suratkhabar. Selalunya perasaan mencari suratkhabar di pagi Ahad tidaklah sekuat ini...

Kedai Mak Uda saya memang ada Mingguan Malaysia. Tetapi ketika saya sampai, suratkhabar itu di tangan pelanggan lain. Dengan perangai yang agak menjengkelkan [tapi saya harap tidak ketara], saya menunggu di meja sebelah untuk pelanggan tersebut habis membaca. Sebaik sahaja dia meletakkan suratkhabar tersebut, saya terus mencapainya. Nasi lemak dan nescafe ais yang sudah terhidang di hadapan saya tidak saya pedulikan buat seketika.

Ternyata pencarian saya berhasil...

Gambar di atas merupakan petikan daripada cerpen saya yang telah tersiar di Mingguan Malaysia [picture courtesy of AVA]...

Jantung saya berdegup kencang sambil mulut menguntum sengih. Terus saya tunjukkan pada mama dan sanak-saudara yang berada di situ. Hilang segan, hilang malu. Perasaan teruja saya mengatasi segala-galanya.

Alhamdulillah... langkah awal sudah membuahkan hasil. Maju terusss...

Thursday, December 17, 2009

Selamat Tahun Baru =)

Sewaktu memandu pulang di suatu petang selesai saja mengajar, saya ternampak kain rentang yang meuar-uarkan [betul ke ejaan ni? Kalau salah, tulun *haha, ok ok, jangan marah...* tolong tunjukkan] sambutan Tahun Baru di sebuah hotel. Antara bait-bait yang sempat saya teliti...

# Free flow beer and soft drink
# Top four deejays playing 12 hours non-stop!
# Tickets sold at RM100, 150, 300
# Special room rate for ticket holders

Aneh. Siapa agaknya yang sanggup membayar sehingga RM300 untuk acara yang seperti itu? Pastilah ada, kalau tidak takkanlah pihak penganjur begitu yakin mengadakan acara itu [ye dak?] RM300 untuk menyambut tahun baru sepanjang malam, ditemani alkohol tanpa had dan lagu-lagu rancak diputarkan DJ-DJ terkemuka [sungguhpun saya tidak pernah mendengar nama-nama DJ yang disebut].

Saya sekadar menggelengkan kepala seorang diri sambil memandu pergi. Tahun baru = lembaran baru. Apakah agaknya maksud lembaran baru bagi mereka yang pergi ke acara seperti ini? Mungkin tarian yang dilakukan sebelum detik 12 malam akan diperbaharui menjadi lebih menarik selepas masuknya tahun baru? Atau mungkin sorakan "3...2...1... HAPPY NEW YEAR!!!" bakal menyuntik semangat luarbiasa yang bisa membangkitkan mereka dari hangover keesokan harinya?

Berbicara pula tentang malam ini. Masuk sahaja waktu Maghrib, kita umat Islam bakal menyambut tahun baru dalam kalendar Islam. Alhamdulillah di atas segala limpah dan kurniaNya, semoga tahun-tahun mendatang kita akan lebih mengingati dan mentaatiNya.

Sambil menanti detik tahun baru, mata dok mengerling ke arah televisyen... kalau-kalau Malaysia berjaya menjaringkan gol. Di saat ini, baru minit ke-13 perlawanan akhir Malaysia-Vietnam untuk Sukan SEA. Semoga tahun baru juga disambut oleh pemain-pemain kita dengan senyuman dan kesyukuran nanti. Namun kalau kalah, nanti cuba lagi =) Apa yang penting? Kerjasama! Hehe... [bonda yang berusia 75 tahun dengan penuh semangat menonton bola... steady mak! Haha!]

Hmm... semalam menonton filem Muallaf karya Yasmin Ahmad. Sahabat baik mengajak saya menonton tayangan perdana filem ini kerana dia berjaya mendapatkan dua tiket... dan saya berterima kasih kepadanya kerana memilih saya untuk menonton filem yang penuh bermakna ini bersamanya.

Muallaf saya anggap karya terbaik Yasmin Ahmad. Sebagai seorang pengarah, kematangannya terserlah melalui filem ini. Jalan ceritanya berkembang dengan baik, watak-wataknya juga kuat. Mesej spiritualnya halus, tapi nyata terkesan di hati saya. Saya katakan pada sahabat baik saya "Kebetulan kan... kita menonton filem ini sebaik saja selepas berbicara tentang mati." Cerita ini seolah-olah memberikan kesinambungan kepada perbualan kami tempoh hari. Ia seperti membaca kata hati saya yang sedang mencari the higher purpose in life.

Selesai saja filem ini, saya masih tidak meninggalkan kerusi pawagam. Mungkin kerana tabiat menonton credit title, mungkin juga kerana ceritanya menarik sehingga saya masih melekat di situ. Namun begitu sayang sekali... berikut antara komen-komen yang singgah di telinga saya sambil penonton lain meninggalkan pawagam...

"Slow sikit eh cerita dia"
"Tak paham la! Ko paham?"
"Kenapa ending dia macam tu je? Tunjuklah mamat tu masuk Islam!"

Oh sedihnya penonton kita... masih tidak menguasai power of observation. Kebolehan melihat, mentafsir dan menilai itu tidak dibawa bersama masuk ke dalam pawagam. Mereka mahu lihat apa yang nyata sahaja. Kalau tajuknya Muallaf, ceritanya mesti terang-terang tentang muallaf. Mereka kata mereka mahu menonton wayang bukan untuk berfikir. Mereka mahu berhibur. Tak mainlah cari isi tersirat! Itulah gunanya visual.

Senyum sajalah saya. Nak mengeluh pun tak guna, kerana di sebalik keluhan itu juga banyak isi tersiratnya [senyum pun... senyum ada makna, kan? =p]

p/s: 31/12 pun ada makna...

Wednesday, December 16, 2009

MataHati

Ada ketikanya... kita perlu melihat diri kita melalui mata orang lain...

Kadangkala untuk keyakinan dan kekuatan... dan kadangkala untuk memastikan yang kita masih punya masa depan untuk dilalui...

Berbicara dengan sahabat baru-baru ini tentang mati. Topik yang jarang mahu dibicarakan, kan? Tapi seharusnya kita sentiasa ingat tentang mati... tentang apa yang kita tinggalkan dan apa yang kita bakal hadapi. Kematian tidak menjanjikan kesenangan. Hanya kerana kita telah tinggalkan segala penat-lelah dan derita dunia tak bererti kematian itu melegakan.

Terkadang terasa letih. "Kau banyak sangat fikir agaknya," kata sahabat saya.

"Kau kan... psycho," tambahnya lagi.

Hehe, tak dapat dinafikan wahai CJ... ada sedikit ketidakwarasan dalam kehidupan aku yang normal ni. Namun tanpa ketidakwarasan ni, tak mungkin aku bisa kekal waras.

Tak logik? Itulah keindahan kepada ketidakwarasan; ia tidak perlukan logik.

Aku kagum dengan kau CJ. You still enjoy the perks of life. Kalau boleh, aku mahu masih seperti itu. Ingat waktu kita sekolah? Benda kecik pun boleh teruja. Mungkin hidup kita terlalu kosong ketika itu? Tak juga. Atau mungkin aku mencari sesuatu yang lebih dalam fasa hidup aku yang sekarang ini. Looking for a higher purpose in life.

Sambil melontarkan pandangan ke luar rumah, di mana hujan sudah mula segan, fikiran saya menerawang. Saya memang terlalu banyak berfikir. Kerana itu kadangkala saya perlu lihat diri saya melalui mata orang yang menyayangi... yang sanggup redah masa depan bersama saya. Mampukah saya memberi suatu nafas, meneruskan nafas itu dan mengharumkannya?

Higher purpose in life.

Saya masih mencari. Harapnya, selagi ada si MataHati- tempat saya melabuhkan lelah barang seketika... saya akan terus mencari.

Monday, December 14, 2009

Menyambut 'Kemerdekaan'...

Dua malam berturut-turut mimpi pangkas rambut.

Saya pernah dengar yang ia ditafsir sebagai menghapus dosa. Tetapi lain pula tafsirannya bila di-Google. Ada beberapa tafsiran, antaranya...

1) Saudara/orang dekat dalam kesakitan
2) Bakal putus dengan kekasih
3) Bakal terima berita buruk

Semuanya negatif kan?

Namun ada satu tafsiran ini mungkin melambangkan mainan minda bawah sedar yang sebenar. Tafsiran ini mengatakan yang kita sedang rimas dengan sesuatu dalam kehidupan. Ada sesuatu yang membelenggu, dan kita ingin bebas tapi ada yang menghalang. Memotong rambut itu ibarat memerdekakan diri dari kehidupan lama yang diselubungi keresahan. Gugurnya rambut maka gugurlah segala curiga. Kepala terasa ringan.

Entahlah. Mimpi saya selalu pelik-pelik. Mampukah ditafsir? Mungkin sekadar mainan tidur.

Setelah sekian lama menyimpan rambut panjang sehingga ada di kalangan sepupu yang menggelarnya sebagai 'buang tabiat', akhirnya hari ini rambut panjang itu dipangkas. Saya lihat ke lantai... ada sedikit melankoli melanda hati. Hair will grow, hati cuba memujuk.

Memang benar, kepala terasa ringan.

Apabila melihat ke cermin, saya tersenyum sendiri. Terkenang masa lalu. Saat-saat manis.

Menyambut 'kemerdekaan'- erti sebenarnya bukankah bergerak ke hadapan? Ya. Itu ertinya yang sebenar. Jadi sudah bersediakah saya menyambut 'kemerdekaan'?

...

Friday, December 11, 2009

Tiada Tempahan

Malam tadi sekali lagi diserang insomnia. Mengadap TV lah jawabnya. Saya menonton sebuah filem lakonan Catherine-Zeta-Jones yang berjudul 'No Reservations'- cerita yang memang ingin saya tonton sejak dari dulu lagi tapi tidak pernah berkesempatan untuk benar-benar duduk dan meneliti.

Ia sebuah cerita biasa. Cerita tentang naik turunnya kehidupan. Kehidupan yang penuh dengan teka-teki. Kehidupan yang penuh dengan kejutan. Tapi cerita-cerita biasa inilah selalunya yang akan menimbulkan kesan dalam hati kita. Kerana kita semua melaluinya. Mungkin bukan situasi yang 'sejibik' macam dalam wayang, tetiba sedikit-sebanyak ada menyentuh kehidupan kita sendiri. Kalau tak ada sekalipun, kita akan berusaha cari sangkut-paut jalan cerita dalam wayang tu dalam kehidupan kita [betul tak? Jangan tipu! Mesti pernah!]

Kenapa pembikin filem tidak pernah muak menulis tentang cerita cinta?

Kenapa? Why? Kyon?

Sebab cinta itu kehidupan. Boleh diambil dari pelbagai sudut. Ada juga pembikin filem yang buat filem bertemakan benci, tapi kurang laku. Kerana sifat manusia itu suka dibuai- dibuai oleh perasaan, dibuai oleh kenangan, dibuai oleh kebiasaan.

Dan kebiasaannya kita tidak membenci. Kebiasaannya kita mencinta.

Bayi yang baru lahir biasanya disambut oleh cinta si ibu. Sebuah masakan istimewa biasanya disediakan dengan penuh rasa cinta. Hijaunya alam juga kerana cinta.

Seorang sahabat yang putus cinta pernah bertanya pada saya. Berapa agaknya peratusan untuk dia memperoleh cinta kembali? [Waduh CJ, daku sudahlah lemah matematik, kau suruh main kira persen ler pulak =p]

Tapi... kita tak mungkin hilang cinta. Untuk mendapatkan kembali sesuatu yang kita tak pernah hilang, kan susah? Hakikatnya cinta itu masih ada. Cuma dalam bentuk yang berlainan. Cinta ni umpama tenaga [Ha, fizik aku okay sikit daripada matematik aku, hehe...] Tenaga tak boleh dimusnahkan, cuma boleh ditukar ke dalam bentuk yang berlainan.

Cinta itu ada. Sentiasa ada.

Tak perlu buat tempahan ;-)

Saturday, December 5, 2009

Wayang: kalah sorak, menang akhirnya...

Hai... demam pula. Demam kus-kus agaknya. Terkejut dek kerana filem Wayang menang besar di Anugerah Skrin 09 yang diadakan baru-baru ini. Saya dan teman dipertanggungjawabkan oleh ayahanda untuk mewakilinya ke Anugerah Skrin. Tak perlulah saya cuba menipu bahawa saya tiada sekelumit harapan pun untuk filem Wayang menang dalam mana-mana kategori, walaupun dihimpit kehampaan sewaktu filem itu dicalonkan di Festival Filem Malaysia. Sungguhpun begitu, saya masih menyimpan harap, walaupun calon-calon lain merupakan filem-filem avant-garde yang dapat memberikan saingan yang hebat. Tapi harapan saya tidaklah begitu tinggi. Berbeza pula dengan teman saya, yang begitu tenang mengatakan yang Wayang bakal merangkul beberapa anugerah. Teman saya ini intuisinya kuat, jadi secara tak langsung jantung saya juga berdegup kencang setiap kali kategori yang mencalonkan Wayang diumumkan.

Kami tiba di PWTC menaiki kereta Kancil yang dengan mudahnya diparkir di tepi jalan. Kami kurang arif tentang arah tuju; yang kami tahu cuma nama tempatnya Dewan Merdeka. Begitulah yang tertulis di kad jemputan. Hendak mengikut arus ataupun follow the crowd memang bukan cadangan yang baik, kerana kami dikira sudah sedikit terlewat [walaupun kami bergerak dari rumah sebaik sahaja selepas solat Maghrib]. Rata-rata orang ramai telah berkumpul di luar dewan untuk menyaksikan acara karpet merah untuk melihat artis kesayangan mempamerkan fesyen ala Arab mengikut tema malam itu. Mereka begitu teruja melihat artis-artis; mungkin kerana mereka sedar yang artis-artis itu juga seperti mereka- orang kebanyakan yang kadangkala kesempitan wang untuk membeli kain lebih. Lihat saja Rozita Che Wan dengan begitu merendah diri ingin memberitahu bahawa dia tidak punya wang yang banyak untuk dibelanjakan ke atas beberapa ela kain; lantas kainnya begitu singkat sekadar menutup paha demi menjimatkan kos.

Saya dan teman juga berjalan di atas karpet merah memandangkan kad jemputan kami menghalakan kami ke arah itu. Saya sekadar berbaju kurung Pahang sementara teman pula kemas berkemeja dan berseluar slack, dilengkapi dengan kot untuk memenuhi etika pemakaian pada malam itu. Sebelum saya keluar rumah, abah sempat berpesan supaya saya berselendang untuk mencantikkan lagi penampilan. Sambil meletakkan selendang di bahu, saya senyum sinis sambil mengusik, "Beriya-iya suruh adik pakai cantik-cantik ni, ada perasaan adik bakal naik pentas ke malam ni?" Abah cuma tersenyum.

Sebaik saja kami duduk, kami memerhati keadaan sekeliling. Wah, bergemerlapan bintang-bintang Malaysia! Lengkap dengan bulu ayam di dahi dan tempelan batu-bata di kening. Yang berseluar, berjubah, berskirt semuanya ada. Bila berjumpa sesama mereka, peluk cium sambil mulut ringan memuji. "Cantiklah you malam ni! Siapa sponsor?"

Segannya diri terasa. Mereka yang tidak tercalon pun bukan main melaram sakan, kami yang memikul tanggungjawab menjadi wakil calon ini berpakaian ringkas saja. Kami sangkakan ini malam karya.

Acara bermula. Secara keseluruhannya, saya dapati Anugerah Skrin 09 kali ini dijalankan dengan baik. Persembahannya menarik, hosnya bersahaja dan tiada slot untuk ucapan supaya malam tidak begitu panjang. Biar anugerah itu yang berkata-kata untuk kita.

Sewaktu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik [Filem] diumumkan, saya mula resah kerana teman secara kebetulannya ke bilik air. Entah mengapa hati ini jadi tak tentu arah mendengarkan nama Ida Nerina. Saya awal-awal lagi sudah menerima pesanan dari pihak TV3 untuk mengambil anugerah bagi pihak Wayang, tidak kiralah apa jua kategori.

Nah! Nama Ida diumumkan! Saya menggelabah seketika dan memandang sekeliling. Ternyata Ida tidak kelihatan. Tapi... Ida dicalonkan untuk dua filem- Wayang dan juga Susuk. Penyampainya Rozita Che Wan tidak pula mengumumkan filem apa, sekadar nama pelakon saja. Mungkin Rozita lebih gementar daripada saya, walaupun dia lebih berpengalaman dan lebih banyak berlakon. Saya terpandang skrin di atas pentas yang menunjukkan babak yang cukup saya kenali- di mana Ida Nerina sebagai Mak Esah melipat kain sambil berborak dengan Awang Lah. Jadi, saya pun bangun dan mula berjalan ke arah pentas. Perlahan; bukan sengaja hendak melengahkan masa, tetapi saya ini kekok memakai kasut tumit tinggi. Saya sebagai wakil enggan memalukan diri sendiri dan juga pihak yang saya wakili dengan terjelepok jatuh di tangga [itukah namanya jatuh ditimpa tangga? hehe...]

Setelah mengambil anugerah, saya ditemubual pula. Bila ditanya tentang perasaan, jujur saya katakan Ida Nerina memang patut menerima anugerah tersebut untuk filem Wayang, kerana kebolehannya bermain emosi dalaman dengan watak Mak Esah amat berkesan. Sambil ditemubual, rupa-rupanya di pentas mengumumkan nama Zulhuzaimy pula sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik [Filem]. Saya yang disambut oleh teman di luar dewan selesai saja sesi temuduga dikejutkan dengan berita gembira itu. Alhamdulillah...

Apabila saya dan teman duduk semula di dalam dewan, kami diberitahu oleh pihak TV3 bahawa terdapat sedikit kekeliruan. Sudahkah anda dapat menjangka apa dia? Jeng jeng jeng... sebenarnya Ida Nerina menang untuk filem Susuk, bukan Wayang. Jadi dengan rela hati, trofi Ida saya kembalikan, dan mereka ganti dengan trofi Zulhuzaimy. Okaylah tu...

Acara diteruskan. Tiba pula ke kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Sekali lagi hati saya berdebar-debar. Ketika anak Azean Irdawaty mengumumkan nama Eman Manan untuk Wayang, Azean Irdawaty tanpa segan-silu melaungkan "Yes!!!" untuk rakan seperjuangannya. Sekali lagi saya naik ke pentas; kali ini untuk kemenangan yang pasti. Dek kerana gemuruh, cuma tiga saat saya menjulang trofi bagi pihak Eman Manan, dan julangan saya tidak tinggi. Tapi dalam masa tiga saat itu, saya cukup berbangga kerana dapat mewakili seorang pelakon yang begitu komited terhadap pembikinan filem ini. Kesungguhannya berbalas akhirnya.

Dua trofi dalam genggaman. Kini tiba saat yang membuatkan jantung saya paling berdegup kencang dan darah mengalir deras didorong adrenalina. Kategori Pengarah Terbaik [Filem]. Saya katakan pada teman, kalau abah menang sila ambilkan anugerah bagi pihaknya. Kerana teman saya juga menyanjungi abah dan berbangga dengan hasil kerjanya. Saya pula ingin menyaksikan detik gemilang itu sebagai audiens, seolah-olah abah yang menjulang trofi itu. Ingin benar rasanya melihat namanya terpapar di skrin.

Tuhan itu Maha Pemurah. Sewaktu Fatimah Abu Bakar membuka sampul untuk mengumumkan pemenang, dia menguntum senyum terlebih dahulu. Fikir saya anugerah itu bakal digondol oleh Allahyarham Yasmin Ahmad. Tetapi apabila Fatimah Abu Bakar mengumumkan "Hatta Azad Khan- Wayang!"... saya nyaris menitiskan air mata. Mungkin terlalu dramatik ya? Tapi itulah hakikatnya. Saya berasa amat terharu kerana usaha keras abah sehingga susut berat badan secara mendadak ketika penggambaran filem sedang berlangsung, akhirnya diiktiraf dan diberikan anugerah.

Ya, mungkin terlalu dramatik jika saya menitiskan air mata. Saya cumalah seorang anak yang terlalu rapat dengan abah sehingga penat-lelahnya juga saya terasa. Dia cumalah Tok Guru saya yang pertama dalam bidang seni penulisan dan drama.

Seraya teman saya mengorak langkah ke pentas, saya iringi dengan tepukan yang mungkin tidak terlalu gemuruh... kerana diselang dengan jari-jemari yang pantas menaip SMS, mengucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada abah yang kurang sihat di rumah. Ketika teman saya menjulang trofi dengan penuh bangga bagi pihak abah, sekali lagi terasa sebak. Indahnya kalau abah datang menyerikan lagi majlis itu. Ramai rakan-rakan seperjuangan yang ingin berjabat salam mengucap tahniah padanya. Para wartawan pula ingin tahu perkembangan terbarunya. Saya cuma mampu menjadi orang tengah menyampaikan salam itu pada abah.

Di akhir acara, filem Wayang telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Sekali lagi saya naik ke pentas bersama wakil dari pihak UiTM. Ada yang ingin saya katakan secara ringkas, tapi masa mencemburui dan saya yang sekadar wakil tidak mahu berlagak diva. Saya tetap tinggalkan pentas dengan rasa puas hati.

Trofi Filem Terbaik dibawa pulang oleh wakil UiTM, sementara saya dan teman membawa pulang tiga lagi trofi [boleh tahan berat juga! Ditambah dengan kaki melecet dek kasut tumit tinggi nan durjana!]. Kami berjalan ke arah kereta Kancil kami di tepi jalan diiring gelak dan tawa, kerana sudah pasti sesiapa yang menyaksikan kami berasa hairan...

"Siapa budak-budak ni? Macamana pulak boleh pegang tiga trofi tu? Pakai pula macam biasa saja. Naik kereta Kancil pulak tu!"

Biar karya bicara.

Di rumah, abah menanti dengan senyuman dan menyambut dengan pelukan. "Terima kasih, bawa 'ong' pada abah!" dia berseloroh.

Tahniah Prof. Dr. Hatta Azad Khan =)

"I don't know about the key to success, but the key to failure is trying to please everybody"
Bill Cosby

Wednesday, December 2, 2009

Etika Kerja

Baru-baru ini saya mencari kedai untuk mencetak gambar-gambar digital saya. Saya pergi ke sebuah kedai gambar yang cawangannya bersepah- secara tak langsung memberikan persepsi yang ia sebuah kedai gambar yang professional.

Saya masuk dan ke kaunter di mana pekerjanya sedang sibuk bersolek. Mahu memadankan warna pembayang matanya dengan uniform yang dipakai. Mungkin itu salah satu kriteria untuk bekerja di situ- saya tak tahu.

Saya bawa bersama album gambar saya kerana tidak pasti dengan saiz gambar yang hendak dicetak mengikut album gambar tersebut. Berikut berupakan dialog antara saya dan pekerja tersebut.

"Dik, kalau gambar besar ni... apa saiz dia?"
"Hm... entahlah..."
[Entahlah?? Macamana pula boleh tak tahu? Kan kau kerja sini!] "Takde sample boleh test?"
[Dengan gaya tak nak, dia menunjuk ke arah dinding di mana tertampal sampel-sampel gambar]
[Saya sendiri ke dinding tersebut dan mengukur] "4R kecik sangat"
[Dia masih berdiri di belakang kaunter, enggan berganjak] "6R cuba?"
[Saya mencuba] "Besar"
"Kalau macam tu, 5R la kot"
"Kot?!"
"Hmm... 5R la agaknya"
"Betul ni? Kang kalau salah saiz, tak boleh masuk dalam album ni, macamana?"
"Alah... 5R lah tu"
"Takpelah, dik. Terima kasih" [Saya keluar dari kedai tersebut]

Masih enggan berputus asa, saya ke kedai yang seterusnya. Kedai ini nampak seperti bisnes kecil-kecilan, tapi dari gaya pelbagai tampalan kertas di luar kedai mempromosi pelbagai perkhidmatan kedai tersebut, saya melangkah masuk dengan penuh harapan. Berikut merupakan perbualan antara saya dan pekerja kedai itu pula [yang memakai telekung menyambut pelanggan]

"Dik, kalau 4R satu keping 45 sen ya?"
"Err..."
"Kat luar tu besar-besar tulis 4R 45 sen sekeping?"
"Kalau 200 keping ke atas saja"
"Hmm... kalau tak?"
"Kalau tak, seringgit sekeping"
"Jauhnya beza!"
"Memang macam tu harga dia"
"Tengokkan dulu saya punya ni berapa keping, boleh?" [Sementara dia memeriksa fail di dalam thumbdrive saya, saya memerhatikan iklan di tepinya yang mengatakan kedai tersebut melakukan document printing] "Sini ada buat document printing?"
"Sekarang tak ada"
"Sekarang tak ada? Habis, bila yang ada?"
[Tidak menjawab]
"Saya tak paham. Maksudnya dulu ada, sekarang dah tak ada?"
[Masih tidak menjawab]
"Kalau saya nak buat document printing ni, boleh?"
"Sekarang semua orang sibuk lah"

Saya senyum padanya, ambil balik thumbdrive saya dan keluar dari kedai.

Saya terpandang longkang di luar kedai. Ke situlah perginya etika kerja kita agaknya.

Tuesday, November 17, 2009

Sekitar Astaka Minda...

"Hatta Azad Khan ni orangnya kecil. Karyanya juga kecil"

Memetik kata-kata saudara Othman Zainuddin di acara Astaka Minda: Hatta Azad Khan "Dalam Ketawa Ada Makna" anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Isnin lepas [16/11/09], saya rasakan kata-katanya cukup tepat dalam menggambarkan insan yang bernama Hatta Azad Khan.

Beliau dikatakan kecil dari segi perwatakan kerana dia bukanlah seorang yang berkuasa dan bukan juga seorang selebriti. Beliau dikatakan kecil dari segi karya kerana cerita-ceritanya merupakan cerita biasa yang luarbiasa. Watak-watak sentral yang dipaparkan merupakan watak-watak yang dengan mudah kita boleh temui dalam kehidupan seharian. Masalah mereka juga masalah-masalah yang sering kita sendiri hadapi.

Diskusi hari itu banyak membicarakan tentang siri popularnya Pi Mai Pi Mai Tang Tu, kerana pembicaranya hari itu, Othman Hafsham yang juga teman karib merangkap mentornya adalah orang yang bertanggungjawab mengetengahkan siri ini untuk tontonan ramai. Siri yang mengundang gelak-tawa pelbagai lapisan masyarakat ini pernah suatu ketika dahulu menjadi periuk nasi utama beliau untuk keluarga.

Selain memperkatakan tentang pertemuan awalnya dengan Hatta Azad Khan, saudara Othman Hafsham juga banyak menyuarakan rintihan hatinya tentang harta intelek, royalti dan juga residual [katanya royalti di Malaysia cuma ada 9- Sultan Pahang, Sultan Johor dll. Sementara 'residual' dalam bahasa Melayu pula bermaksud 'hampas'... hmm...] Sebagai sebuah negara membangun, nampaknya kita masih jauh ketinggalan dari segi penjagaan harta intelek. Sesuatu karya yang terhasil dek berjaga di tengah malam, memerah otak dan keringat serta miss soru begitu mudah diperlekehkan. Sebaliknya, sesuatu yang tidak memerlukan sebegitu banyak daya pemikiran tetapi mendapat sambutan dek kerana kontroversi dan isu-isu dangkal diangkat pula menjadi karya agung dan dibayar puluhan ribu.

Ketika duduk semeja dengan karyawan-karwayan seperti Zakaria Ariffin dan Othman Zainuddin, saya kagum dengan pandangan dan pendapat mereka tentang penulisan. Kadangkala kata-kata mereka itu kedengaran begitu mudah dan juga lucu, tetapi di sebaliknya ada maksud tersirat yang begitu sinis dan mendalam. Karya-karya mereka juga begitu; ia memerlukan kita berfikir dan berimaginasi. Karya-karya yang ditulis dengan pengalaman dan juga pengetahuan, ditambah dengan kreativiti masing-masing. Bukan cerita-cerita cinta yang tak berkesudahan berlatar-belakangkan perkara yang sama berulang-ulang.

Banyak yang perlu dipelajari dari mereka. Dan sementara mereka masih ada, hargai dan hubungilah mereka untuk menimba ilmu. Jangan terlalu ghairah hendak menulis semata-mata kerana nama pena anda kelihatan begitu menarik di atas kulit sebuah buku. Menulis untuk glamour ni samalah seperti menjadi doktor untuk kaya.

Niatnya salah.

Monday, November 9, 2009

Hilang dan Lenyap

Apa bezanya 'hilang' dan 'lenyap'?

Saya bukan mempersoalkan dari sudut maksudnya kedua-duanya dalam Kamus Dewan Edisi sekian sekian... saya mempersoalkan tentang pemahaman kita sendiri.

Bagi saya, hilang bermaksud sesuatu itu masih ada. Cuma tidak ada dalam genggaman atau pandangan. Masih boleh dicari.

Lenyap pula bermaksud tiada buat selama-lamanya. Tidak boleh lagi dicari; mungkin cuma boleh diganti.

Saya baru sahaja menonton sebuah filem Inggeris berjudul Moonlight Mile. Kepada peminat Rolling Stones pasti mengenali tajuk ini sebagai salah sebuah lagu balada nyanyian kumpulan tersebut. Filem ini sekadar menggunakan lagu tersebut sebagai latar, bukan sebagai lagu tema. Filem lakonan pelakon-pelakon hebat seperti Dustin Hoffman dan Susan Sarandon ini bertemakan kehilangan- atau mungkin, kalau mengikut definisi saya, lebih tepat jika saya katakan 'kelenyapan'.

Di dalam cerita ini, seorang perempuan berumur sekitar 20-an mati akibat ditembak secara rawak di sebuah restoran oleh seorang lelaki yang ingin membunuh isterinya di tempat yang sama. Perempuan tersebut telah 'lenyap'. Jadi cerita ini mengambil tempat setelah lenyapnya dia... kisahnya tentang orang-orang kesayangan yang terpaksa menghadapi kelenyapannya. Ayah, ibu serta tunangnya.

Saya pasti kita pernah berhadapan dengan situasi sebegini sekurang-kurangnya sekali di dalam hidup kita. Tidak seperti filem-filem dan drama-drama melodramatik, uniknya filem ini ialah ia memaparkan realiti sebenar. Tidak ada orang yang menangis tiada henti, tidak ada klip-klip kenangan silam yang sentiasa menghantui orang tersayang.

Dalam kehidupan sebenar, kadang-kadang apa yang ada cumalah sunyi, janggal dan kekok.

Bayangkan jika kita hilang sesuatu. Reaksi pertama? Cari apa yang hilang. Cuba temukan semula.

Bayangkan pula jika sesuatu lenyap. Apa yang kita rasa? Marah? Kecewa?

Kosong.

Itu yang membezakan 'hilang' dan 'lenyap'.

Monday, November 2, 2009

Tentang Perasaan dan Tak Ada Logika

"The greatest burden for this heart is allowing joy and grief to claim an equal room"

Kata-kata tersebut dipetik dari novel saya, Then There Was Damian yang, insyaAllah, bakal diterbitkan tak lama lagi ;-) [tak pasal-pasal promo pulak kat sini]. Sememangnya ini keadaan yang saya pasti setiap seorang dari kita pernah alami: rasa seronok dan sedih pada masa yang sama. Contohnya mungkin ketika majlis graduasi; rasa seronok kerana akhirnya segala penat lelah kita belajar sudah terbayar, tapi rasa sedih pula hendak meninggalkan alam yang dideskripsikan dengan tepat sekali melalui lagu tema Ali Setan- Wajah Rahsia Hati.

Memang sukar hendak melayan perasaan bertentangan yang bermain secara serentak. Tak tahu sama ada hendak menangis atau ketawa. Sememangnya saya tidak suka dihadapkan dengan emosi sebegini, keliru dibuatnya! Tapi kata orang tua-tua, lagi kita tak suka satu benda tu, lagilah benda tu mengekori kita! Ditambah pula dengan diri saya yang saya yakin ada Bipolar Disorder, perasaan seronok ekstatika ni mudah bersilih ganti dengan perasaan murung yang tidak menentu.

Itu baru saya yang pandai-pandai buat diagnosis sendiri. Apa pula perasaan orang yang benar-benar menghidap penyakit Bipolar Disorder ini? Cuba anda baca novel His Bright Light karya Danielle Steel yang menceritakan kisah benar anaknya Nick Traina. Dek kerana terlalu tertekan dan dihantui oleh gelodak emosi yang pelbagai, dia akhirnya membebaskan roh dari jasad pada usia semuda 19 tahun. Nick bukan sahaja seorang yang bijak, malah berbakat dalam bidang penulisan. Entri-entri di dalam diarinya jelas menunjukkan kebijaksanaannya menulis, namun di dalam penulisan itu terkandung sebuah jiwa yang resah dan memberontak.

Kajian menunjukkan yang kebanyakan penghidap Bipolar Disorder terdiri daripada golongan karyawan- artis, pemuzik, penulis... pendek kata, mereka yang berfikiran kreatif dan abstrak. Kadangkala ini membuatkan saya terfikir, adakah penyakit itu sendiri yang membuatkan seseorang itu lebih berbakat dan berkebolehan, atau adakah bakat itu yang telah mendorong ke arah permulaan penyakit ini? [Kisah ayam dan telur lah ni... yang mana mula dulu?]

Memetik kata-kata Pn. Nisah Haron ketika bengkel penulisan cerpen baru-baru ini, penulis yang menulis mengikut tema fantasi perlu berhati-hati dalam penulisannya. Perlu sentiasa ingat akan landasan agama supaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan penulisan sehingga hilang kepercayan terhadap kuasa yang lebih besar [bagi kita umat Islam ialah Allah S.W.T.]

Adakah ini bermakna seseorang yang menulis tanpa batasan itu lebih kreatif? Jika ada yang mengatakan ya, maaf saya harus menyangkal pendapat ini. Bagi saya, landasan dan batasan itu amat penting dalam penulisan. Jika tiada, cerita kita tidak akan menjadi kukuh kerana tiada penjelasan di sebalik sesuatu kejadian.

Kita ambil contoh Harry Potter. Mungkin sesetengah orang berpendapat yang cerita sebegini mudah untuk ditulis, kerana tidak terikat dengan peraturan biasa. Karakter-karakternya bisa terbang di atas penyapu, pintu berkunci boleh dibuka dengan tongkat sakti dan mereka bisa ke satu tempat yang jauhnya beribu batu dalam sekelip mata. Pendek kata, segalanya mungkin!

Tapi anda perlu ingat: sungguhpun dunia magika tidak terikat dengan peraturan dunia biasa, penulis perlu mencipta peraturan tersendiri untuk dunia magika untuk supaya cerita itu lebih menarik. Kalau segalanya mungkin, tidak adalah penjahat, tidak adalah konflik, tidak adalah drama... tidak adalah cerita! Peraturan yang dibuat pula haruslah boleh diaplikasikan di sepanjang cerita; jika tidak pembaca boleh mempersoalkan banyak perkara. Pokok pangkalnya, walaupun kita menghasilkan sesuatu idea yang tidak logik, kita harus berjaya 'menjual' idea tersebut kepada pembaca sehingga mereka boleh menerima idea tersebut.

Barulah Tak Ada Logika menjadi Logika dan Fantastika! =p

p/s: Otak sedang ligat memikirkan jalan cerita bertemakan fiksyen sains...

Friday, October 30, 2009

Detik dan Waktu

Barisan belakang dari kiri: Shariza Dilla, Zulaikha, Amer, Sabrina, penulis, Dayana, Nurul Ashikin
Barisan depan dari kiri: Roszainiza, Nurdiyana, Sharifah Mariam, Nadia Abd Bari, Wan Syahida

"Terasa seperti baru semalam..."

Itulah ayat klise yang sentiasa digunakan untuk mula mengenang kembali masa lampau. Tidak kiralah seberapa kerap pun ayat itu digunakan, namun ia kekal popular kerana ketepatannya menggambarkan perasaan seseorang yang merasakan waktu terlalu pantas berlalu, sekaligus meninggalkan usia kanak-kanak atau remaja yang detik-detiknya sentiasa diulangtayang dalam minda yang [harapnya] semakin matang.

Gambar di atas diambil sewaktu saya menghadiri majlis persandingan teman baik saya Dayana yang menemui jodohnya dengan Amer. Dayana dan rakan-rakan lain yang anda lihat di atas merupakan teman-teman seperjuangan saya di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya sebelum saya berpindah ke MRSM Taiping.

Zaman Assunta merupakan 'zaman memberontak' bagi jiwa remaja saya di ketika itu yang lebih gemar bersama rakan-rakan daripada keluarga. Tidak cukup dengan sepanjang waktu pagi yang dihabiskan bersama rakan-rakan sekolah, waktu petang juga dipenuhi dengan aktiviti ko-kurikulum yang sebenarnya sekadar alasan untuk saya berada di samping rakan-rakan. Maklumlah, mana boleh sesuka hati keluar bercanda-ria di waktu petang dan hujung minggu. Sekolah sajalah 'tempat lepak' yang paling boleh diterima-pakai oleh ibu bapa. Sekurang-kurangnya di sekolah keadaannya lebih terkawal. Tidak boleh bebas melakukan apa saja yang terlintas di hati dek laluan darah muda yang panasnya menggelegak di ketika itu.

Sungguhpun begitu, kami cukup senang hati berada di sekolah; bergurau-senda sambil menikmati makanan yang mungkin tidaklah begitu enak, tetapi cukup untuk mengalas perut [di waktu petang dulu, makanan ruji di sekolah apa lagi- burger dan hot dog lah!]. Sewaktu itu, kami semua ahli Persatuan Bahasa Melayu yang tiap-tiap tahun mengadakan konsert besar-besaran dengan bayaran tiket masuk. Ha, grand kan? Maka sibuklah kami dengan persiapan pentas dan persembahan. Saya dan rakan-rakan yang menerajui komponen teater antara yang paling sibuk, lagi-lagi tahun itu kami mempersembahkan sebuah teater muzikal... jadi, jangankan berlakon, menari dan menyanyi pun sebahagian dari tugas kami! Tapi seronoknya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Masa yang diluangkan bersama-sama terlalu berharga untuk ditukar-ganti.

Sewaktu menghadiri persandingan Dayana, sahabat saya Zulaikha atau lebih mesra saya panggil Pak Lah [Pak Lah merupakan nama karakternya dalam teater muzikal kami dahulu... katanya saya seorang saja yang masih memanggilnya dengan nama itu] mengatakan pada saya yang baru beberapa hari lepas dia terjumpa buku skrapnya yang terkandung gambar-gambar kami semua sewaktu teater muzikal tersebut diadakan. Tak sangka dapat berkumpul kembali ramai-ramai seperti waktu dulu-dulu.

Melihat Dayana di atas pelamin dan Sha yang sibuk mengedarkan walimatul urusnya sendiri yang bakal berlangsung bulan Disember ini, saya tersenyum sendiri. Pantasnya waktu berlalu. Namun kenangan yang kami lalui bersama telah mengekalkan persahabatan kami.

Waktu pasti berlalu. Tapi detik adalah abadi.

Tuesday, October 27, 2009

Kisah Kuala Dipang

Tergamam saya melihat jambatan berwarna biru itu runtuh di kaca televisyen waktu berita disiarkan malam ini. Hakikatnya saya tak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Dipang. Tapi apa yang mengejutkan saya ialah bagaimana jambatan yang hanya berusia satu bulan itu boleh runtuh apabila pelajar-pelajar sekolah sedang menjalani kursus di situ.

Persoalannya; bagaimana?

Satu bulan!

Kalau dilihat daripada struktur luarannya, nampak macam kukuh. Berdiri megah merentas sungai yang arusnya ternyata deras. Tapi akhirnya runtuh lalu menyebabkan 20-22 orang pelajar hanyut dibawa arus. Guru-guru yang terlibat pasti diselubungi rasa cemas dan bersalah kerana merekalah yang dipertanggungjawabkan menjaga anak-anak ini sewaktu mereka berjauhan dari rumah masing-masing. Tak dapat dibayangkan pula perasaan si ibu dan ayah; fikir mereka, bukanlah mereka leka dalam menjaga anak-anak. Ini aktiviti sekolah. Jambatan itu sepatutnya dapat menampung anak-anak mereka... bagaimana boleh runtuh pula?

Ini bukan salah guru. Bukan salah ibu bapa. Bukan salah pelajar-pelajar. Persoalannya; bagaimana jambatan itu dibina? Berapa peruntukkannya? Apa bahannya? Bagaimana perancangan pembinaannya?

Kalau sayalah ibu kepada pelajar yang hilang, saya tak perlukan wang pampasan. Apa yang saya perlukan ialah jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Saya bukan kontraktor, jurutera mahupun arkitek... tapi pasti ada cara untuk membuatkan saya faham tentang pembinaan sebuah jambatan. Saya juga bukan seorang akauntan... tapi saya rasa saya berhak meminta ketelusan dalam pembentangan bajet pembinaan jambatan tersebut.

Saya tahu jawapan-jawapan kepada persoalan ini tak memulangkan kembali anak-anak yang hilang itu. Tapi sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran untuk masa depan.

Usahlah sibuk melaungkan 1Malaysia ke sana ke mari. Kami rakyat memang sudah bersatu. Seperti yang dipaparkan di televisyen untuk kisah Kuala Dipang, rakyat tak kira bangsa bersama-sama turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat.

Yang diperlukan hanya kejujuran.

p/s: Cuba anda ke website ini
http://abcdpittsburgh.org/kids/kids.htm

Budak kecil pun diajar bagaimana hendak membina jambatan yang kukuh, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan. Ini baru jambatan main-main, tapi ternyata ketekunan diperlukan. Bagaimana pula orang besar yang kononnya cerdik pandai ini boleh buat kerja sambil-lewa sehingga mengorbankan nyawa?

Ironi...

Thursday, October 22, 2009

Jurang Generasi


"Generation gap."

Pernah dengar frasa ini diungkapkan? Selalunya kita akan berhadapan dengan frasa ini apabila dua generasi menilai sesuatu dari perspektif yang berbeza. Sesetengah orang pula akan menggunakan frasa ini apabila merasakan diri sudah meningkat 'veteran' dan sudah tidak lagi seiring dengan generasi yang lebih muda. Contoh mudah; sebutkan kartun-kartun seperti Thundercats dan Care Bears kepada anak-anak buah ataupun anak-anak sendiri, pasti mereka terpinga-pinga... "Hah?!! Apa tu?" kata mereka. Walhal kartun-kartun ini pernah menjadi subjek utama kita di sekolah! Sesiapa yang memegang sesuatu ala-ala memegang pedang dengan matanya menghala ke langit, pasti ada yang menyahut, "Thunder... thunder... Thundercat!!!" Tak pun, sesiapa yang perutnya 'maju', mesti dipanggil "perut Care Bear." Cuba buat aksi/lawak ni pada budak umur 9 atau 10 tahun sekarang... kita pula yang akan ditenung macam kita ni yang mereng!

Sebenarnya, dalam hal jurang generasi ini, generasi yang lebih tua selalunya akan bersikap lebih egoistik dari generasi yang muda. Jangan marah ya, ini sekadar pemerhatian saya saja. Kalau kita ambil contoh kartun tadi, generasi yang lebih tua akan cepat mengatakan yang kualiti kartun sekarang tidak seperti dahulu; pengisiannya kurang, moral pun tak ada. Kadang-kadang persepsi ini dibuat tanpa kita duduk dan cuba menikmati apa yang sedang dinikmati oleh generasi baru; dan tak pula hendak memperkenalkan material-material kita yang terdahulu pada mereka.

Akhirnya, jurang ini akan menjadi bertambah besar.

Kita ambil contoh filem P.Ramlee. Tak dapat dinafikan, filem-filem ini malar segar merentasi generasi. Jadi apa masalahnya? Masalahnya; kita tak sudah-sudah mengangkat filem-filem ini. Terlalu mengagung-agungkannya sehingga terlupa bergerak ke hadapan. Generasi baru yang cuba peka dengan obsesi ini akan cuba 'meniru' masa silam; hakikatnya, hasil tiruan memanglah tak sebaik hasil asli. Apabila cuba menghasilkan yang asli pula, generasi yang lama masih 'terperangkap' dengan masa silam. Yang baru semuanya tak bagus, yang lama saja 'boleh pakai'.

Salahnya di mana? Pendekatan.

Generasi yang terdahulu harus mendedahkan generasi baru kepada karya-karya terbaik terdahulu; seharusnya kita tidak mahu generasi baru lupa pada tinggalan warisan. Tapi pada masa yang sama, generasi yang terdahulu juga mesti duduk dan mentelaah material baru bersama-sama dengan generasi baru. Dengan ini, generasi baru lebih mudah menerima ajaran, kerana mereka tahu yang perspektif mereka juga diambil kira. Jangan hanya kerana mereka lebih muda, mereka diperlekehkan begitu sahaja.

Idea-idea baru pun ada yang 'boleh pakai' juga =)

Oleh itu, rapatkan jurang generasi. Sudah pasti karya-karya kita lebih bermutu!

Bengkel Penulisan Novel oleh AVA

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti bengkel penulisan ini, ada beberapa perkara yang diperlukan :

1) Hanya terbuka kepada 15 orang sahaja (terbuka kepada semua dan yang menempah awal). Sila daftar dengan menghantar emel pada ejenmanuskrip@yahoo.com dengan memberikan nama, nama pena (sekiranya ada), alamat, nombor telefon.


2) Sila hantar/emel sinopsis lengkap novel (tidak kira apa genre) kepada ejenmanuskrip@yahoo.com bagi dinilai di dalam bengkel kelak. Boleh memasukkan sinopsis untuk watak-watak, latar tempat, masa dan sebagainya. Contoh/format akan diberikan kepada perserta melalui emel perserta dalam masa yang terdekat.

3) Menyertakan bab 1 (bukannya salah satu daripada bab yang ada/siap)

4) Tarikh : 12 Disember 2009 (Sabtu)

5) Pemudahcara : Puan Nisah Hj. Haron

6) Tempat : Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

7) Yuran pendaftaran : RM 100.00 (Dibayar sewaktu pendaftaran bengkel)

8) Selain itu, pemudahcara memohon agar perserta membaca semua sinopsis - agar dapat memahami apa yang bakal diterangkan serta dapat memberi buah fikiran dan pendapat.

9) Makan dan minum disediakan, surau ada di tempat bengkel.

p/s : Sekiranya ada sambutan atau sesiapa yang berminat dan tidak dapat mengikuti bengkel ini, tarikh bengkel penulisan novel seterusnya adalah 3 Januari 2010 (Ahad). Sila buat tempahan awal, kerana untuk menjaga kualiti bengkel, hanya 15 orang perserta sahaja yang dapat menyertai. Terima kasih.
KHAR
AGENSI VILLA AKSARA (AVA)
http://ejenmanuskrip.blogspot.com/

Wednesday, October 21, 2009

Malam yang Sepi...pi...pi...


Bosan
Menjadi penghuni malam
Ditemani siaran tak bermutu
Sitkom-sitkom ulangan
Filem-filem gred B



Bosan
Memasang telinga
Mendengar deruan enjin kereta
Jeritan mat rempit entah di mana seronoknya
Selain itu, sunyi
Yang lain lena dibuai mimpi

Bosan
Menanti siang
Adik-adik bersekolah
Rakan-rakan bekerja
Hanya ditemani sakit demam
Hilang adu, hilang rajuk

Dari mana datangnya bosan?
Dari mata turun ke hati?
Eh, bukan!
Itu cinta!

Adanya bosan kerana adanya ketiadaan
Ketiadaan karya
Ketiadaan kerjaya
Ketiadaan cinta

Bosan, bosan, bosan
Solusi?
Adakan yang tiada!
Magis?
Bukan...
Sekadar usaha

Bengkel Penulisan Cerpen oleh AVA



Salam buat penulis-penulis... Maksudnya salam buat semua, kerana hakikatnya kita semua penulis dengan cara kita yang tersendiri.

Rasa sungguh berbesar hati kerana entri pertama dalam blog baru saya ini adalah berkenaan dengan Bengkel Penulisan Cerpen yang telah dianjurkan oleh Agensi Villa Aksara pada hari Ahad lepas [18 Oktober 2009]. Yeppa! Akhirnya saat yang saya nantikan untuk sedikit-sebanyak menimba ilmu dalam alam penulisan ini secara semi-formal termakbul juga!

Dikendalikan oleh Pn. Nisah Haron yang sememangnya petah berbicara dan sentiasa membuatkan kami tertarik dengan isi yang hendak disampaikan, kami peserta-peserta terpana, terpesona dan terpinga-pinga dibuatnya [tak percaya? Tengok gambar-gambar kat blog AVA, hehe].

Siapa datang lambat, angkat tangan! *angkat tangan* Walaupun berhari-hari dok mentelaah peta nak ke Pusat Belia Antarabangsa di Cheras, alih-alih sesat juga sikit. Maklumlah, saya ni kalau pasal bearing memang fail. Tapi Alhamdulillah, sampai juga dan berjaya mengikuti bengkel ini sehinggalah ke penghujungnya.

Kalau nak catat satu persatu tentang apa yang dipelajari, alamatnya memang tak cukuplah satu entri blog [lagipun... takkan nak tulis semua. Siapa suruh korang tak pegi! <-- pergh, bunyi dengki sungguh =p] Tapi saya cukup berpuas hati sebab dapat banyak idea untuk mencari idea. Selama ini saya sekadar menulis berdasarkan pengalaman, people-watching dan juga brainstorming. Rupa-rupanya, bahan berada di mana-mana! Cuma perlu lebih rajin buka mata dan buka telinga.

Selain daripada tu, kena teliti dalam penulisan. Saya dan Abang Bro cukup kagum mendengar cerita sang penulis yang sanggup merentas negeri semata-mata nak melihat bagaimana suatu alat muzik itu dimainkan, semata-mata kerana watak utama cerita itu bermain alat muzik tersebut! Hebat kan? [Bukan macam Neddo... kantoi! Tulis pasal wasiat, rupa-rupanya wasiat bersyarat tu tak dibenarkan! Ish ish, research tak cukup ni, Neddo! Takpe, lepas ni kalau ada soalan berkenaan dengan undang-undang, boleh tanya Pn. Nisah... takpun Serunai Faqir ye =p]

Satu lagi pengajaran penting yang dipelajari: SASARAN! Menulis bukan untuk syok sendiri ye kawan-kawan! [Nak syok sendiri tu boleh, tapi kalau nak diterbitkan... payah sikit] Bak kata orang-orang seni persembahan, "Know your audience!" Selain itu, dapat juga tips-tips tentang karya yang mana sesuai untuk terbitan yang mana. Memang berguna!

Bengkel ini juga telah memberi kami peluang berkongsi karya dan berkongsi pendapat. Semua cerpen telah 'dibedah' dengan jayanya; lidah jadi skalpel! Segala aspek telah dinilai, lebih-lebih lagi soal perwatakan dan penceritaan. Ikhlas saya katakan, saya berasa seronok dapat berkumpul dan berkongsi pandangan begitu. Membuatkan semangat semakin berkobar-kobar nak menulis.

Dan, sepertimana lazimnya kem bina semangat, kem bina ihsan, kem bina negara dan juga latihan khidmat negara... dapat kawan-kawan baru! Yay!!! [ha! Tanda seruan tak boleh lebih daripada tiga ye.. hehe] Waktu sarapan pagi diluangkan bersama-sama Pn. Nisah dan Serunai Faqir; waktu tengah hari bertukar pandangan dengan Abang Bro dan Macai Suci, sempat juga mengusik Nemo dan Kaseh Esmiralda; selesai makan menjenguk buku-buku yang dijual dengan harga diskaun, khas untuk peserta bengkel- kagum dengan kecekalan dan hasil karya Kak Lily dalam buku Salun Eksotikata. Waktu bengkel berjalan pula, duduk di sebelah Ilmir Ilmia, yang di waktu tengaharinya memperkatakan tentang filem Papadom. Bengkel diakhiri dengan penyerahan manuskrip novel Pn. Maria kepada Tintarona Publications; yang cerpen Lintahnya benar-benar terkesan di hati saya.

Bak kata Aziz Sattar dalam filem Bujang Lapok "Sukses! Sudah cukup puas hati! Puas hati!" Terima kasih kepada Pn. Nisah dan AVA serta tahniah buat semua peserta bengkel! Nanti kita jumpa lagi!