Thursday, December 30, 2010

Si Burung Biru, Si Harimau Malaya

Waduh, waduh... kok sudah lama nggak menulis di sini! Haruslah saya akui, posting kedua di Hospital Selayang ini lebih tenang [bebudak skang panggil 'chillax'- gabungan 'chill' ngan 'relax'] berbanding posting pertama. Mungkinkah... kerana saya bertambah mahir? [Tak larat, masuk lif tekan sendiri] Atau mungkinkah... saya makin menyukai pekerjaan ini? [Background lagu D'Lloyd - Oh tak mungkin! Tak mungkin!]

Yang pastinya hidup sudah sedikit lapang berbanding dulu. Tapi saya masih menunggu saat dan ketika di mana saya benar-benar berasa seronok hendak ke tempat kerja [nama pun spital, siapa yang seronok gi spital?] Tapi yalah... kalau menunggu buah durian gugur dari pokok, mampulah kita nak bermalam di pondok usang walaupun ditakut-takutkan dek cerita dongeng hantu durian bak cerita Upin dan Ipin [apakah yang daku karutkan ini]. Tapi kalau menunggu nak suka kerja yang memang kita tak suka, yang memang tak serasi dengan jiwa kita... ibarat menunggu buah durian tu jadi buah anggur la gamaknya [korang paham tak analogi aku nih?]

Cukuplah bicara tentang kerja.

Baru-baru ini seorang rakan datang mengadu. Katanya hati terguris, hati terluka. Orang yang dianggap kawan baik, kawan kamceng habis... dek kerana sedikit perselisihan faham, sanggup mengutuk dan mengatanya di Twitter.

Haih... aneh bagaimana Twitter ini boleh mengubah cara kita berhubung dengan begitu mudahnya. Tiba-tiba kita sudah tidak perlu bersemuka. Cukuplah sekadar meluah perasaan di Twitter. Semua orang boleh baca. Diulang - SEMUA ORANG boleh baca. Tak kiralah kita sedang bercinta, bergaduh, makan, mandi, buang air... semua pun orang tahu. Bergantung sama ada kita mahu beritahu ataupun tidak. Tapi dek kerana 'celebrity syndrome' yang kian menular ni, kita rasa macam semua orang perlu tahu kita di mana, apa yang kita rasa.

Memang benar - Twitter ini seolah-olah merapatkan kita pada orang-orang yang lazimnya tak akan bertegur-sapa pun dengan kita. Kita bersembunyi di sebalik logo si burung biru dan hanya bermain dengan kata-kata. Kena gaya, kita dapat lebih ramai kenalan, lebih ramai kawan. Suka hatilah kalau nak bertwit sana, bertwit sini. Tapi berbaloikah 'menuwit' sehingga tercalar hati kawan baik kita sendiri? Yang tak faham tu, kenapa perlu 'menuwit' sedangkan masalah boleh selesai kalau kita bersemuka? Ataupun sudah tak wujud perkataan 'bersemuka' dalam diari hidup semenjak wujudnya si burung biru atau si mukabuku?

Tak faham. Jadi baik kita fokus pada benda yang lebih mudah difahami - yakni kemenangan Harimau Malaya! Yeah, ini baru namanya berbaloi dan wajar disokong. Di bawah pimpinan King Gopal, skuad kebangsaan kita memang layak dipuji kerana mempamerkan corak permainan yang cukup baik. Akhirnya merasa juga kita Suzuki Cup [nak menunggu Thomas Cup balik Malaysia memang berjanggutlah jawabnya!] Tahniah buat Harimau Malaya [ataupun bak kata Mira - Tiger Malaysia! Kui kui kui... suka hati ko je tukor nama ye Mira]

Sehingga bertemu di lain masa [macam ler ni rancangan khas aku - aku ni pun ada 'celebrity syndrome' gak kot, haha] ~Salam Cuti Bola!

Monday, October 11, 2010

happiness is a state of mind

"I'm not too happy with you"

Bila kita dengar orang berkata begini pada kita, apa maksudnya? Selalunya kata ini diungkapkan bagi menyatakan rasa tidak puas hati seseorang terhadap kita. Mungkin ada yang kita lakukan tak kena di matanya - mungkin SEMUA yang kita lakukan tak kena di matanya. Yalah, orang kalau dah tak suka... matanya lebih mudah nampak yang salah dari yang betul.

Sebenarnya 'gembira' itu apa? Gembira itu wujud dalam minda, dalam hati, dalam perasaan... Orang gila pun mampu gembira - kerana di dalam dunianya, cuma ada dia dan rasa gembira. Gembira itu bukan satu destinasi, ia satu perjalanan. Kalau dijadikan ia destinasi, makin dijejak makin tak sampai. Kalau dijadikan perjalanan, setiap langkah ia menemani.

Semalam karya saya terbit di Mingguan Malaysia. Saya boleh pilih untuk berduka - kerana di saat keluarga dan yang tersayang menikmati dan meraikan kejayaan saya yang satu itu, saya terpaksa bekerja lebih masa di hospital. Tapi saya pilih untuk gembira - tak mengapa, pulang nanti dirai. Sekarang kerja menanti - buat sepenuh hati.

Sayangnya, kadangkala yang terbaik dari kita masih buruk di mata orang lain yang menilai. Atau mungkin... kadangkala kita cuba lakukan yang terbaik untuk sesuatu perkara, tapi nyata perkara itu tak serasi dengan kita. Mungkin takdir menentukan kita berada di satu tempat yang berbeza - tempat yang lebih sesuai dengan jiwa kita.

Teringin sekali hendak menjadi yang terbaik... teringin sekali hendak membuat orang lain gembira, malah teruja dengan kerja kita...

Namun bukan di sini... bukan di penjara batu bertingkat ini... Di sini tiada siapa yang tertarik dengan tarian pena dan alunan cerita.

Haih... Kadangkala, lebih mudah menjadi orang gila...

p/s: "I'm not too happy with you" - maksudnya siapa yang ada masalah? Renungkan...

Monday, September 20, 2010

heartless...

Seorang anak bongsu berumur belasan tahun ke hospital untuk menjaga ibunya yang belum pun mencecah 60 tahun...

Ibunya masuk ke hospital kerana tiba-tiba pengsan di rumah... entah kenapa. Sebelum ni baik-baik saja. Kalau ada pun penyakit, sekadar darah tinggi saja.

Tadi dia terdengar abang sulung bercerita, doktor kata mak ada pendarahan dalam otak. Tekanan darah terlalu tinggi membuatkan salur darah di kepala pecah.

Serius bunyinya. Jantung si anak berdegup kencang. Janganlah apa-apa jadi pada mak... ayah sudahlah tiada...

Ketika si anak bongsu di sisi katil ibu, bertemankan mak long, mak ngah segala... datang seorang doktor. Tegas wajahnya. Begini katanya...

"Mak ni sebenarnya brain-dead. Tau tak brain dead? Maksudnya mak ni sebenarnya dikira dah meninggal. Dia hidup pun sebab kita bagi alat bantuan pernafasan. Kita bagi dia satu-dua hari saja. Memang dah tak dapat diselamatkan"

Lancar saja kata-kata itu keluar dari si doktor. Tak berkelip matanya... jadi mustahil dia tidak nampak si anak bongsu tergamam sehingga nyaris pitam, disokong dek mak longnya. Dunia jadi gelap seketika. Kemudian... tatkala kata-kata itu benar-benar meresap dalam minda dan menusuk tajam ke dalam hatinya... "Ya Allah, mak dah tak ada... mak dah tak ada...!"

Tatkala itulah air mata mencurah bagai hujan.

Namun air muka si doktor tiada sekelumit simpati.

Mungkinkah sudah terlalu kerap berhadapan situasi begini? Atau mungkin sengaja dipaparkan riak wajah membatu sebegitu bagi melindungi hati sendiri?

Janganlah aku begitu... harap aku tak akan pernah begitu...

salam dari 'spital... =p

Dah lama tak menulis di sini... pembetulan... dah lama tak menulis *tanda noktah*

Ada ketika, waktu saya sedang bekerja di hospital, idea untuk sebuah cerita menarik tiba-tiba masuk dalam kepala. Tetapi tiba-tiba saya akan tercuak sekejap [tengok- 'tercuak'... perkataan ni ada dalam kamus tak agak-agak?]... masih mampu ke saya menulis? Dah agak lama tinggalkan dunia penulisan sepenuh masa.

Eh? Baru dua bulan lebih ke sebenarnya?

Taklah lama sangat. Tapi kenapa rasa lama?

Sebab hakikatnya, saya memang rinduuu teramat sangat dengan dunia penulisan sepenuh masa. Baru-baru ni dapat tahu yang Finas akan adakan bengkel penulisan skrin- hati tergerak nak ambil cuti. Isnin sampai Jumaat- lima hari bekerja tu! Mustahil bos cukup baik hati nak kasi cuti... haih...

Tapi hari tu jari-jemari terdengar rentak hati- hati suruh menari atas papan kekunci. Dalam kepala dah ada story [sengaja guna 'story' sebab bunyinya bermelodi ~ mengada-mengada nye aku niii... =p] Alhamdulillah... siap satu cerita-ceriti. Tak sangka berjaya jugak siapkan di hari cuti yang sekarang ni memang jarang dapat dinikmati. InsyaAllah kalau sang pengarang bermurah hati, keluarlah Mingguan Malaysia mana-mana hari Ahad nanti =)

Kadang-kadang terfikir jugak nak tulis dalam blog ni pasal kerja. Kalau nak diikutkan, banyak yang boleh jadi coretan. Tak dinafikan, waktu mula-mula masuk kerja, memang susah betul nak sesuaikan diri. Tak keterlaluan kalau saya katakan yang saya lalui peringkat murung. Bangun pagi rasa macam tertekan sangat-sangat... nak melangkah masuk ke hospital tu, macam ada bola besi dirantai ke kaki. Tapi terpaksa diharung juga.

Sebenarnya kerjaya sebagai doktor ni menarik dan boleh jadi menyeronokkan. Tapi, sebagaimana kerja-kerja yang lain, suasana di tempat kerja mestilah memberangsangkan. Bila fikir balik, permintaan kecil ni macam tak logik pun ada jugak- dah namanya hospital, macamana suasananya nak jadi memberangsangkan? Kiri kanan orang sakit! Tu tak campur lagi dengan bilangan yang bila-bila saja boleh menghembuskan nafas terakhir.

Tapi hakikatnya- orang sakit bukanlah penyebab kemurungan saya. Malah mengenangkan orang-orang sakit ini sajalah yang mendorong saya ke tempat kerja. Nak kata saya ni jenis yang mulia sangat tu tidaklah... tapi sekurang-kurangnya, mereka ni orang-orang yang mampu saya tolong setakat yang saya terdaya.

Siapa orang-orang yang saya tak mampu tolong? Saya tak mampu tolong orang yang ada 'penyakit' lain- penyakit dengki, penyakit pentingkan diri sendiri... semua ni penyakit lebih kronik. Malangnya, orang-orang yang ada penyakit ni tak sedar yang dia berpenyakit dan tak mahu ditolong. Jadi ~ tak dapek den nolong!

Pengalaman sepatutnya mendewasakan kita. Namun masih ada orang yang berpengalaman, tapi kedewasaan itu tak meresap dalam diri. Sifat terlalu berkira jadi aset utama, dan marahnya pula kadangkala tak bertempat- tujuannya bukan mengajar, tapi menunjuk-nunjuk dan mengapi-apikan. Dan yang sedihnya, di dalam usia sebegini di mana masing-masing sudah punya kerja dan tanggungjawab tersendiri, perangai suka berkelompok ala klik sekolah menengah masih wujud.

Aneh... orang-orang ini ada gelaran yang kononnya begitu besar di pangkal nama masing-masing- "Dr." Saya sendiri juga bergelaran sebegitu, namun saya akui tiada apa yang harus dimegahkan. Saya juga manusia biasa, sentiasa melakukan kesilapan dan cuba belajar dari kesilapan. Bila sudah pandai, kita ikut resam padi- makin berisi, makin menunduk.

Baru-baru ini saya terdengar seseorang yang lebih berpengalaman memberi mutiara kata yang bermakna, "Kerja ni nak dapat pahala senang... nak dapat dosa pun senang. Semua bergantung pada niat dan cara kita melaksana"

Semoga saya bertahan, insyaAllah...

Saturday, July 17, 2010

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - Akhir Tetapi Mula

Tanggal 9 Julai 2010, saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya buat suatu acara yang amat berbeza daripada acara-acara yang saya hadiri sebelum ini. Jika sebelum ini saya pergi untuk menonton teater dan pelbagai persembahan [juga kadangkala untuk melawat ayahanda yang sedang bekerja sewaktu dia masih di Istana Budaya dahulu... hehe], kali ini saya ke sana untuk sebuah anugerah.

Anugerah yang menjadi sebuah penanda tersendiri dalam kalendar hidup saya.

Jumaat itu, dari Melaka saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur. Lima hari saya di Melaka - kerana akhirnya saya telah dipanggil untuk menghadiri kursus induksi bagi pegawai perubatan gred UD41 [dokter lah, senang cite! panjang benor... =p] Sewaktu mula-mula menerima surat induksi, perasaan saya bercampur-baur. Gementar kerana bakal menjalani fasa baru dalam kehidupan saya... sedih kerana bakal meninggalkan label 'penulis sepenuh masa' yang saya lekatkan pada diri sejak 10 bulan yang lalu selesai saja majlis graduasi. Tapi hati sedikit lega melihatkan jadual induksi tidak akan menghalang saya daripada menghadiri majlis anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Setelah dipanggil untuk ke belakang pentas untuk menerima hadiah utama bagi kategori cerpen remaja [remajakah? haha...], terasa kerdil berdiri di kalangan penulis-penulis yang jauh lebih berpengalaman. Jika dibelek buku program, rasa-rasanya saya seorang saja yang belum pernah memenangi apa-apa anugerah atau diberi apa-apa penghargaan. Rezeki Allah - cerpen pertama saya yang diterbitkan, cerpen itulah yang telah diberi penghargaan.

Memang satu kampunglah saya jemput untuk acara itu. Bersama-sama meraikan kejayaan saya. Anugerah ini bagai acara penutup yang cukup indah bagi dunia penulisan saya selama 10 bulan ini sebelum melangkah ke alam perubatan sepenuhnya. Saya seolah-olah diberi cenderamata bagi menandakan pembabitan saya dalam bidang ini, walaupun tidak selama mana. Tapi pada masa yang sama, anugerah ini juga merupakan titik mula saya di dalam bidang penulisan. Ia kini sudah tercoret tetap dalam biodata saya supaya saya dapat melangkah lebih maju, sekaligus terus membakar semangat menulis.

Aneh kan? Akhir tetapi sebenarnya baru bermula. Doakan saya terus tegar menarikan pena walaupun sibuk melenggokkan stetoskop =)















Thursday, June 24, 2010

Di Mana Kita Berdiri?

Pardon my foreign tongue for this entry. I'm very comfortable using my mother tongue, mind you. But perhaps, this just goes to prove that just because I'm writing in English does not mean I'm less patriotic than those who shout this word with mere volume yet no substance.

Very recently, a part of our heritage located in Pudu was demolished to "make way for futher development." Despite wails of protests to preserve this very historical building, citizens were asked to not be too sentimental and emotional regarding a building that has brought nothing but painful memories. But most importantly, this building is built on too strategic a land to be wasted away to the elements of heritage and history.

On a different yet relevant note, I recently watched a film by the revolutionary Michael Moore entitled Sicko, which featured the reality of the healthcare system in America and how it paled in comparison to nations that practise universal healthcare such as France, United Kingdom and even Cuba [for crying out loud!]

I suggest you watch this, and then examine the recent decisions made by the people governing our country currently. It kinda makes you wonder... as citizens to a country that we love and wish nothing more than for it to prosper gracefully, where do we stand actually? We asked for a heritage to be preserved, and they bulldozed the building right in front of our eyes anyway. We plead for a better education, health and even cultural system... yet those who hold the highest post only have one thing in mind: making their mark during their time of reign.

There have been talk about getting rid of UPSR and PMR altogether. One of the so-called reasoning behind this is so that schoolchildren won't be too exam-oriented. Let me share a story with you: when I was in Standard 6 [the year of UPSR], I had a friend who still could not read and write. Basically, she was illiterate. It made me wonder; in the midst of my friends and I pursuing straight As for UPSR, this girl can't even read! And yet she was about to sit for a major exam. But she did not seem that worried. You know why? Because the system is such that, even if you don't pass your UPSR, you can still proceed to Form 1. So here I ask: at what stage are we actually handling illiteracy? Isn't the whole purpose of going to school in the first place is so that you can read, write and count? The basic 3M- Membaca, Menulis, Mengira.

Evrything written nicely on a proposal becomes nothing but a meaningless piece of paper when you don't put it into practice. Thus what's all the fuss about having or not having UPSR and PMR? School works on very simple logic:

Level 1: Teach basic skills [the 3M, for example]
Level 2: Find out what these children are good at
Level 3: Harness what they're really good at so they can make a good living outside the school walls and, at the same time, contribute to the country in their own way

UPSR is supposed to see whether you've achieved level 1. PMR discovers Level 2 [hence the streaming] and SPM is supposed to fulfill the goal for Level 3.

So you see, isn't it just common sense?

I - a mere, powerless citizen - can figure this out. Many others can too, and I'm sure these "many others" include those in power. Yet it's still not being implemented. Why? Because it's not about us anymore.

When basic common sense gets thrown out the window, and our intelligence is being insulted... where, oh where, do we stand?

Saturday, April 24, 2010

KKB 240410

11 tahun dahulu...

Seorang pelajar menengah rendah ke sekolah tanpa sebarang agenda selain menuntut ilmu dan aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu juga mewakili sekolah dalam pelbagai acara syarahan dan debat, baik bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.

Tahap minat dan pemahaman dalam bidang politik: Rendah.

Guru yang rapat dengannya pernah mempersoalkan kenapa dia seperti endah tak endah tentang politik. Selalunya orang yang aktif berpersatuan dan berdebat sana-sini secara tak langsung juga minat politik. Jawabnya mudah. Tak mahu peningkan kepala. Politik ini kotor. Asalkan negara aman, maju, membangun... dapat pendidikan, dapat kerja, dapat hidup harmoni... dah. Cukup.

Badai melanda negara. Laungan "Reformasi!!" sana sini. Pulang ke rumah disambut air mata mak. Katanya Timbalan Perdana Menteri dipecat. Terkedu seketika. Terkenangkan kenalannya di sekolah, Nuha. Seorang yang happy-go-lucky, mudah mesra dengan sesiapa saja. Kenalan yang tidaklah begitu akrab, tapi tetap saling mengenali.

Esoknya ke sekolah. Nuha sudah mula bertudung. Wajahnya murung, tak ceria seperti selalu. Sambil tersenyum tawar, Nuha mengedarkan riben berwarna putih kepada semua kenalan. Apa makna riben putih itu? Reformasi! Sahut kenalan-kenalan yang lain. Dalam usia yang naif dan minat politik yang dalamnya sekadar ibarat air bah paras buku lali, riben putih dipakai di baju kurung tanda sokongan seorang teman.

Hari berikutnya guru besar terus membuat pengumumam: Memakai sebarang riben atau lencana yang tidak ada kena-mengena dengan aktiviti sekolah adalah tidak dibenarkan.

Ada yang akur, ramai yang tidak. Semangat setiakawan membara, walau ramai yang masih belum mengerti maksud reformasi. Yang kita tahu, Nuha ini rakan yang baik. Jarang sekali menyakiti hati sesiapa. Apa salahnya memberi sokongan padanya.

Sekarang...

Pelajar di usia remaja itu telah meningkat dewasa. Selesai Tingkatan 3 di sekolah yang sama dengan Nuha itu, dia ke sekolah berasrama penuh... kemudian ke kolej pra-perubatan... universiti perubatan... dan akhirnya kini menjadi penulis sepenuh masa sambil menanti untuk berkhidmat. Banyak yang telah dilihat dan dilalui, banyak lagi bakal ditempuh. Sudah tahu sedikit-sebanyak jerih-perih hidup, tapi belum cukup jeran.

Tahap minat dan pemahaman dalam bidang politik: Sederhana.

Nuha ditemui kembali. Kali ini di Hulu Selangor. Nampak kelibatnya dari jauh, berbaju kurung biru dan bertudung. Wajah dan susuk tubuhnya langsung tidak berubah. Wajahnya masih polos, dan badannya tetap kecil molek.

Sewaktu Nuha sedang bersalaman dengan makcik-makcik yang nyata mesra dengannya, bahu Nuha ditepuk lembut dari belakang. Si rakan sekolah yang ditemui setelah lebih 11 tahun memperkenalkan diri. Sangkanya mungkin Nuha tidak lagi mengingati dirinya. Tapi kadangkala, memori zaman sekolah itu lebih kuat. Ternyata Nuha masih ingat. Tak lama dapat berborak dengannya kerana sudah pasti ramai yang ingin bersalaman dengan anak tokoh ternama. Tokoh yang kemudiannya masuk ke stadium hanya dengan membonceng motosikal setelah tersekat dalam kesesakan. Namun senyum tokoh itu masih melebar mendengarkan sorakan menggegar stadium saat ketibaannya walaupun jam sudah menghampiri 12 malam.

Laungan "Reformasi!!" berkumandang lagi. 11 tahun telah berlalu. Perjuangan diteruskan. Dan setiakawan itu masih wujud. Kini dengan hati dan minda yang lebih sarat dengan ilmu.

Awas, jangan diperlekeh lagi. Anak remaja ini telah dewasa.


Monday, April 19, 2010

Dari Kertas ke Layar...

Dah lama tak menulis di sini. Sibuk dengan skrip-skrip filem... satu bentuk penulisan yang masih baru bagi saya walaupun sudah lama jadikan panggung wayang tu rumah kedua. Menonton filem dan menulis skrip filem adalah dua perkara yang amaaaat berbeza. Setiap kali menonton Academy Awards, mereka akan paparkan apa yang tertera dalam skrip dan apa yang diterjemahkan ke dalam filem ketika hendak mengumumkan calon-calon untuk skrip terbaik.

Di Malaysia, penulis skrip tidak mendapat penghargaan sebesar di Hollywood. Tak keterlaluan saya katakan, penulis skrip di sini kerjanya habis sebaik saja menyerahkan skripnya kepada orang/badan/syarikat tertentu untuk direalisasikan sebagai sebuah filem. Bayangkan, penat lelah bersengkang mata dan kadangkala mengabaikan tidur dan makan minum semata-mata untuk menghasilkan sebuah cerita yang bermutu dan lengkap segala ramuan buat santapan penonton... akan dilepaskan dari tangan kita begitu saja. Kenapa saya katakan 'begitu saja'? Sebab setiap penulis skrip tahu, sebaik sahaja skrip untuk dibawa ke layar, tak ramai yang akan bertanyakan siapa penulis skripnya. Semua orang mahu tahu siapa yang berlakon, siapa yang mengarah bahkan siapa yang menerbitkan filem itu. Jarang orang akan bertanya "Siapa punya skrip?"

Rata-rata penonton kita bila di dalam panggung, kekuatan sesebuah filem dipegang pada audio dan visualnya. Tak dinafikan, ini memang kelebihan filem berbanding dengan jenis karya lain seperti novel/cerpen ataupun lagu. Tapi sebelum berlakunya transformasi kepada audio dan visual, filem itu hanya bergantung kepada skrip. Jika pengarah itu cukup mahir, skrip yang kurang bermutu boleh dicantikkan bila menjadi filem. Jika pengarah itu bernasib baik, skrip itu sendiri sudah sedia bagus. Jika pengarah itu malas, skrip secantik mana sekalipun boleh rosak.

Tapi pokoknya tetap satu: apa saja yang kita bina, asasnya mesti kukuh. Dalam sesebuah filem, skrip saya pandang sebagai asas. Raw material. Kalau raw material tak bagus, bagaimana produk akhir nak jadi bagus? Dalam penulisan skrip, si penulis perlu fikir dari pelbagai sudut. Pembukaan cerita bagaimana yang dapat menarik perhatian penonton? Cara penceritaan bagaimana yang akan membuatkan penonton terus tertarik sehingga ke akhirnya? Karakter sentralnya mahu dipaparkan sebagai apa dan siapa? Apa pengisiannya? Cukupkah pengetahuan si penulis untuk membuat pengisian sebegitu? Adakah ruang untuk nilai komersial, paling tidak pun sedikit? Dapatkah filem itu memberi impak atau perubahan pada penonton? Dan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab...

Kesimpulannya, penulisan skrip filem bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara 'bidan terjun'. Nak main terjah saja, memang tak dapatlah. Kalau mahu, boleh. Tapi hasilnya gerenti tak memberangsangkan. Dan setiap penulis skrip harus terbuka kepada kritikan. Kerana penterjemahan dari kertas ke layar bagi setiap orang itu berbeza. Yang terbayang di minda kita mungkin tak sama dengan orang lain. Dan jika kritikan itu memberikan kita perspektif yang berbeza, kita harus mendengar dengan teliti. Kita tak mungkin dapat menghasilkan sebuah skrip yang baik seorang diri. Sebab bila menulis sesuatu yang durasinya 90-120 minit, kita berkemungkinan berdepan dengan si dinding durjana [writer's block, hehe] pada minit keberapa saja. Misi kita ialah memusnahkan dinding ni dan jalan terus. Tapi dalam keadaan terdesak, kita ambil jalan mudah dan buat lencongan. Lencongan itu mungkin tidak sebaik jalan terus asal yang kita bina. Akhirnya, jalan cerita itu tidak kemas atau bercelaru.

Kata mentor saya dalam bidang penulisan, 'the best stories are the simplest ones'. Sebab hakikatnya, filem ini cermin kehidupan. Dan kehidupan kita sehari-hari merupakan koleksi cerita-cerita biasa yang dijadikan luarbiasa dek warna-warni ragam manusia dan situasi-situasi luar jangkaan. Cara kita mengolahnya menjadikan cerita itu menarik. Itu kerja si penulis skrip.

Sunday, March 28, 2010

Istimewa Bersama KRU

Yaaa... itulah rancangan yang sedang ditonton sekarang ini di TV2. Pagi tadi sewaktu membaca suratkhabar ada iklan tentang rancangan ini. Tergerak hati hendak menonton. Maklumlah, suatu ketika dulu memang ada fasa KRU mania.

Kalau nak ikutkan, KRU merupakan satu-satunya artis yang saya memang ikuti perjalanan karier mereka dari mula sampai sudah. Memang cukup fanatik. Setiap album saya beli, setiap keratan akhbar saya kumpul dan setiap kali mereka muncul di kaca TV, mustahil saya lepaskan peluang untuk menonton. Memandangkan zaman remaja saya dikawal rapi oleh abah dan mama, konsert mereka pun abah dan mama turut serta! Haha... tapi memang best, sebab abah dan mama pun 'layan' KRU juga. Abah dapat hargai showmanship mereka, katanya budak-budak ni nampak bersungguh kalau buat sesuatu. Mama pun terpaksa dengar lagu-lagu KRU setiap kali naik kereta, sampai naik suka. Hehe. Saya sempat ke dua konsert - KRUmania Mega Tour [yang jadi kecoh dulu sebab ditaja oleh Peter Stuyvesant- sebuah syarikat rokok dan juga dek kerana perkataan 'mania' yang bermaksud 'gila'... haih, literal sungguh!] dan juga konsert Jammin' The Nation. Sehingga ketika dulu juga pernah 'bekerja' dengan KRU kerana mereka panggil peminat setia untuk uruskan laman web mereka [saya ditugaskan untuk bahagian write-up. Sempat ke 3-4 meeting saja, lepas tu... erk... lepas tu jadi apa ya? Oh, saya ke sekolah berasrama penuh, jadi tak dapat berikan komitmen].

Kalau dikenang kembali, memang saya menggeleng sambil tersenyum sendiri. Tanya saja apa tentang KRU dulu, semua saya boleh jawab! Apa warna kegemaran Yusry? Apa kereta idaman Edry? Apa ciri-ciri wanita pilihan Norman? Haha! Lawak, lawak... Bab hafal lagu tak payah cerita, memang cukup arif. Sampaikan kalau tukar arrangement sikit pun, saya boleh tahu. Saya siap boleh ingat wardrobe mereka bertiga masing-masing! [Ini... creepy pun ada jugak! Keh keh]. Dua filem mereka- Awas dan Cinta Metropolitan saya tengok berulang-ulang sampai boleh hafal dialog! Sekarang sambil tengok rancangan ini pun, saya jadi kagum dengan diri sendiri... sebab masih hafal setiap patah perkataan dalam lagu KRU, walaupun dah lama tak dengar. [ya Allah, dance step diorang pun aku hafal kot!] Macam dah terpahat dalam permanent memory- like riding a bike!

Tapi memang tak dapat dinafikan, mereka ini adik-beradik kreatif dan kerja kuat. Sebab tu mereka boleh berjaya dan sampai ke tahap di mana mereka sekarang ni. Ada visi. Mereka tahu apa yang mereka mahukan. Bermula sebagai pelopor kumpulan rap di Malaysia, mereka tahu yang mereka takkan boleh "Yo! Yo!" sampai ke tua. Jadi dari awal lagi mereka sudah mula bina empayar. Kematangan KRU boleh dilihat dengan jelas melalui progres dari satu album ke album yang lain.

Mahu 'bedah'? Ayuh!

1992- Album Canggih. Ah, album ni masih kebudak-budakan [mana taknya, kalau tak silap, masa ni Edry sekolah pun belum habis! Hehe]. Masing-masing pakai T-shirt dan topi. Identiti masih belum begitu jelas. Lagu-lagu kebanyakannya 'lagu bercakap', di mana hanya chorus ada melodi, verse semuanya rap. Norman sebagai frontman memonopoli sebab dia yang paling pandai rap. Lagu popular: Cherrina [tak mustahil kalau ada orang tak pernah dengar].

1993- Album ReKRUed. Di sini dah nampak sedikit keberanian. Verse dah mula berbunyi seperti lagu betul. Konsert pertama juga berdasarkan album ini. Identiti lebih street, lebih cool. Sudah pandai pakai baju army pattern. Yusry mula mendapat perhatian kerana diberi peluang menjadi vokalis [dan nampak macam dia yang paling hensem! Haha! Semua pun tergila-gila kat Yusry masa ni, sebab ada aura malu-malu]. Lagu popular: Mengerti [siapa tak pernah dengar lagu ni, konpem duduk kat negara/planet lain masa tu!].

1994- Album mini Awas. KRU sudah mula bertapak. Populariti makin meningkat. Ada 6 lagu saja dalam album ni, tapi larisnya mak aihhhh! KRU mula dijemput untuk banyak rancangan TV- termasuklah In Person: KRU yang dikelolakan oleh Tiara Jacquelina ketika itu. KRU masuk Juara Lagu '94 untuk lagu Mengerti [lagu ini masih dimuatkan dalam album mini dek kerana popularitinya]. Yeah, siapa boleh lupa efek api atas pentas yang dibawa oleh KRU. Masa tu ramai peminat KRU bengang sebab KRU tak berjaya merangkul anugerah Lagu Pop Rock Terbaik dan Persembahan Terbaik kerana kalah di tangan sifu M. Nasir, kih kih... Tapi rasanya tahun ini KRU menang anugerah AIM mereka yang pertama, ke... tahun berikutnya? Something like that... [nak cover ni, konon-konon macam tak fanatik sangat =p]

1995- Album Awas Da' Soundtrack. Album ini berdasarkan filem pertama lakonan mereka- Awas Da' Movie. Maka seronoklah semua peminat sebab dapat tengok tiga beradik ni berlakon. Filem tak best pun boleh jadik best. KRU juga sibuk dengan Awas Da' Konsert. Imej ala gangster, tapi clean gangster [aku ni main buat je term sendiri kan?]. Dari album ini sendiri sudah mula terlihat kematangan KRU dalam penghasilan lagu. Mereka sedar yang mereka mula menjadi ikon dan idola remaja. Lagu-lagu seperti Negatif dan Salah Siapa sarat dengan mesej, tapi rancak dan sedap didengar. Siap ada lagu raya- Malam Kita [yang langsung tak bunyi macam lagu raya]. KRU semakin serius dalam industri. Syarikat mereka KRU Berhad, sudah mula menunjuk belang samar-samar dengan pengambilan artis di bawah naungan mereka sendiri, dan sudah mula meninjau pasaran luar negara selain rantau Asia.

1996- Album Ooh! La! La! one of my personal favorites. Juga merupakan album runut bunyi bagi filem kedua mereka Cinta Metropolitan. Album ini ada kepelbagaian, dan lagu-lagu balada mereka juga lebih bermutu. Tahun ini juga, mereka hasilkan album anak didik pertama mereka- Elite iaitu Catwalk. Walaupun album Ooh! La! La! ternyata merupakan album terbaik mereka setakat itu, ada ura-ura mengatakan yang populariti KRU mulai menurun. Antara faktor-faktornya: penukaran imej secara mengejut [pertama kali kelihatan Norman dan Yusry berambut panjang, dan Edry botakkan kepala- tidak diterima begitu baik oleh peminat dek kerana stigma rambut panjang dan kepala botak = budak nakal/budak jahat di ketika itu], pengaruh boyband dari Barat seperti Backstreet Boys dan N'Sync dan juga kegagalan filem Cinta Metropolitan di pawagam.

1997- Album kompilasi pertama KRU diterbitkan iaitu KRUmania, selari dengan konsert KRUmania Mega Tour. Nampak seperti KRU menggunakan strategi stalling- keluarkan album kompilasi [hanya dengan satu lagu baru iaitu Fanatik... Oh ya! Juga kecoh tentang nyanyian 'duet' KRU dan P.Ramlee menerusi lagu Getaran Jiwa. Siap sampai ada keluar fatwa. Looking back, I wonder if it was just a publicity stunt. KRU ni memang bijak] sementara memikirkan langkah seterusnya untuk idea baru supaya terus kekal bertapak di dalam industri.

1998- Album Inggeris pertama KRU diterbitkan. KRU bertindak kreatif dengan sentiasa mencari kelainan. Definitely my favourite! Safe to say, semua lagu dalam album ni memang best. Buat pertama kali, KRU 'buka pintu' kepada komposer lain untuk lagu dalam album mereka. Selama ini mereka buat semua lagu sendiri, tapi kali ini [sebagai gimik, mungkin] mereka mengambil komposer antarabangsa seperti Dianne Warren yang pernah membuat lagu untuk artis antarabangsa seperti Celine Dion. Tahun ini juga, KRU diberi mandat untuk membuat album runut bunyi bagi filem animasi pertama Malaysia- Silat Lagenda. Artis-artis terkenal tanahair seperti Ella, Zainal Abidin, Ning Baizura dan Sheila Majid mendendangkan lagu-lagu ciptaan KRU. Mereka maju beberapa tapak lagi.

1999- Album Formula Luarbiasa. Aiseyman, di sini jelas KRU sudah mula hilang taring. Kedua-dua lagu single mereka, Formula dan juga Luarbiasa gagal menarik perhatian. Lagu-lagu lain juga biasa-biasa saja. Tapi syarikat KRU Berhad sudah cukup kukuh untuk menampung penurunan populariti mereka sebagai penyanyi, dan mereka mula diangkat sebagai usahawan pula kerana mula melahirkan artis-artis baru di bawah naungan mereka, serta mula berjinak-jinak dalam bidang perfileman.

2000- Masih cuba mencari kelainan, refused to go down without a fight... KRU muncul dengan album Tyco. Album yang menampilkan personaliti virtual mereka masing-masing [macam Gorillaz yang merupakan identiti virtual bagi kumpulan Blur]. Lagu Bidadari berkumandang di stesen-stesen radio. Tapi selepas satu album, Tyco berkubur begitu sahaja. KRU kembali menjadi KRU.

2000- Album KRUjaan. Cuma satu lagu yang menyerlah iaitu Impak Maksima.

Album-album selepas ini, saya dah mula tak beli. Cuma dengar single-single mereka seperti Perpisahan Terasing, Gerenti Beres, Terhangat di Pasaran. Walaupun album mereka secara keseluruhannya tak menyengat macam dulu [rasanya album Krunisme saya ada beli juga... Hah! Konpem saya beli! Siap ada ulasan kat blog dolu-dolu lagi. Berminat? Tengok sini. Juga ada ulasan tentang filem pertama arahan Yusry iaitu Cicakman di sini] tapi ternyata KRU sudahpun meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam industri muzik tanahair.

They will definitely go down in history...

Here's to 18 years of the Kumpulan Rap Unggul
and the brothers Norman, Yusry and Edry Abdul Halim...

Monday, March 22, 2010

Cikgu Oh Cikgu!

Entah kenapa ya... dua tiga menjak ini secara kebetulan karya saya semuanya berkisar tentang cikgu. Babak novel bersiri [S.S.S.] yang terbaru di Kapasitor.net tentang karakter sentral mencari semula jati diri dengan berjumpa cikgu sekolah lama. Beberapa minggu lepas, tergerak hati hendak menulis tentang cikgu juga, dan alhamdulillah karya tersebut berjudul Cikgu Din tersiar di Berita Minggu baru-baru ini. Sekarang ini sedang dalam proses menulis skrip pula, juga kebanyakan karakternya cikgu!

Ada apa dengan cikgu? Kenalan-kenalan rapat yang benar-benar mengenali saya pasti tahu yang saya memang sejak dari kecil menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru. Bagi saya, seseorang guru itulah yang paling boleh memberi impak dalam kehidupan seorang anak sekolah. Zaman sekolah ini lazimnya zaman jiwa muda, darah panas. Kebanyakan masa pula dihabiskan di sekolah. Gurulah yang memainkan peranan dalam membentuk sahsiah pelajar. Kadangkala mereka mencungkil masalah yang tak mungkin dapat dicungkil oleh ibu-bapa pelajar itu sendiri. Guru jugalah penyimpan segala rahsia. Jika pendekatannya betul, boleh mengubah hala tuju pelajar. Sepanjang hayat akan diingati.

Cikgu oh cikgu! Nak kata dah dekat dengan Hari Guru, taklah begitu dekat. Galak pula saya menulis tentang cikgu. Tapi hakikatnya, cikgu itu perlu disebut dan diingat setiap masa. Dengan penghormatan sebegini, cikgu-cikgu sekalian juga diharap terus cemerlang mendidik anak-anak negara- supaya mereka tidak mudah diperlekeh dan diperbodoh-bodohkan, apatah lagi memperbodohkan diri sendiri.

Wednesday, March 3, 2010

Bulan Produktif Karya

Tersenyum lebar sendiri...

Minggu lepas dapat kiriman dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Cerpen saya telah diterbitkan untuk majalah Tunas Cipta keluaran Mac 2010. Keluaran April 2010 nanti pula, ulasannya pula akan keluar. Gembira bukan kepalang mengenangkan ada orang selain orang-orang tersayang yang sanggup meluangkan masa membaca dan menilai karya saya.



Sebentar tadi pula, tergerak hati hendak membelek majalah Mingguan Wanita keluaran terbaru [5-10 Mac 2010]. Wahhh... muka depannya si artis jelita Maya Karin. Dan di dalamnya... satu lagi hasil nukilan saya. Alhamdulillah. Walaupun tajuk asalnya [Baliklah, Cik Su!] telah ditukar kepada tajuk yang lebih komersial iaitu Lara di Hati, nama saya tetap tertera sebagai penulis dan jalan ceritanya tidak diubah sedikit pun. Seronok juga dapat berkongsi glamer dengan Maya Karin, haha!



Sebentar lagi hendak mencari Dewan Kosmik pula. InsyaAllah, jika mengikut maklumbalas daripada editor melalui e-mel, satu lagi karya bakal tersiar di situ =)

Terima kasih buat semua yang tak putus-putus memberikan galakan dan sokongan...

p/s: sesi penggambaran ADTS bakal bermula! teruja teruja!

Thursday, February 25, 2010

Berdesing!

Sudah lebih 24 jam perut kosong. Jadi bila terpandang saja sambal berlado masakan mama, terus terangkat selera. Tapi, masuk saja sambal berlado dalam mulut, mata saya jadi bulat. Saya pandang abang, dia juga begitu. "Ma, apsal berdesing sangat sambal nih? Cili apa mama pakai?"

"Kan Abang Apis dah pesan, sempena musim perayaan ni, cili ni je yang ada"

Abang Apis ini sepupu saya. Orang berniaga nasi lemak. Bahan mentah untuk buat nasi lemak itu dah jadi sebahagian dari hidup dia. Maklumlah, periuk nasi. Kenalah jaga. Katanya cili yang tinggal cuma cili berdesing tu- cili Bangi namanya [adakah kerana cili ini hanya boleh didapati di Bangi? Uish, payah tu. Musti tak banyak mana] sehinggalah musim perayaan tamat.

Hairan. Ke mana perginya cili? Kenapa bila musim perayaan, cili jadi terhad? Rayanya pun Gong Xi Fa Chai. Ke mana hilangnya semua cili?

Ini adalah antara persoalan yang akan sentiasa berlegar, tapi tak mungkin dapat dijawab. Kalau dijawab secara sinikal, katanya kita ni tak sayangkan negara pula.

Samalah seperti persoalan "Kenapa kita hantar orang ke angkasa untuk kaji sel barah? Orang yang berpenyakitnya di bumi, kenapa sampai perlu ke angkasa? Kenapa perlu belanja sampai RM 102 juta untuk buat begitu?"

Saya sahut dengan satu situasi [ini kisah benar ye]...

Ada sukarelawan datang minta derma untuk membina sebuah pusat rawatan untuk kanak-kanak cerebral palsy. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit ini mengalami rencatan pertumbuhan otak. Ia mungkin berpunca dari saat dia dalam rahim, ketika dilahirkan ataupun setelah dilahirkan. Mungkin kerana jangkitan, mungkin juga kerana sebarang kemalangan yang berlaku di mana-mana jangka waktu yang tiga tadi. Masalahnya pelbagai: masalah penglihatan, pendengaran, otot dan sebagainya. Serba tak kena. Simpati bukan sahaja buat kanak-kanak itu, tetapi buat mereka yang menjaganya. Perlukan banyak sokongan.

Saya tanyakan pada sukarelawan ini "Ada dapat bantuan kerajaan?"

"Ada" jawabnya.

"Berapa?"

"RM 10 ribu"

=)

Sunday, February 14, 2010

Dilema Seorang Amfibia

Malam tadi kali kedua menghadiri rehearsal Aku, Dia dan Tong Sampah. Sebuah filem projek pelajar-pelajar tahun akhir program ijazah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM Puncak Perdana, dan insyaAllah, bakal menerjah pawagam. Tenaga produksinya terdiri daripada sekumpulan anak-anak muda yang punya kesungguhan dan minat yang mengagumkan [jika berminat mengetahui tentang perkembangan filem ini, anda boleh ke sini]

Saya sendiri sudah lama tidak terlibat secara langsung di dalam sebuah produksi, dan ini pula pertama kali menjadi sebahagian dari produksi filem [selama ini sekadar membuat produksi teater kecil-kecilan di universiti]. Keseronokannya bukan sesuatu yang dapat diungkap dengan kata-kata [ecewahhh...]. Sejak kecil saya tidak pernah melepaskan peluang terlibat dengan seni persembahan. Kata saya pada tenaga produksi ADTS ketika sesi pengenalan dengan mereka, "Anda tidak tahu betapa saya ingin bertukar tempat dengan anda."

Seni persembahan suatu impian tergendala. Dan hanya bila impian itu masuk gear pertama [mungkin sekarang ni dah gear kedua kot... ke ketiga?], tempoh penganggur professional/penulis sepenuh masa saya hampir berakhir. Dua minggu lepas, fail yang saya beli khas untuk meletakkan karya-karya yang tersiar telah diganti dengan sijil-sijil yang diperlukan untuk temuduga masuk kerja.

Tapi minggu lepas, muncul 'tanda-tanda' yang tak dijangka...

# kerja menulis masuk dalam bentuk projek yang agak besar, disertakan dengan bayaran awal
# bermulanya penglibatan saya secara langsung dengan ADTS
# temuduga kerja ditangguhkan [Raya Cina daa...]

Semangat yang cuba saya bakar untuk masuk kerja seolah-olah perlahan-lahan dipadamkan oleh hujan renyai yang lembut dan menyegarkan.

Berilah saya kuasa meramal. Dah penat bergaduh antara gerak hati dan kuasa minda.

Tuesday, February 9, 2010

"I Lap Yuu ...... I Het Yuh!!!"

Baru-baru ini kecoh hal Fahrin Ahmad dan Linda Onn. Si Linda kata Fahrin kaki pukul, si Fahrin pula menitis air mata menafikannya. Dia mahu Linda pohon maaf, Linda pula kata tak kisah diheret ke mahkamah atas nama "kebenaran". Dalam kekecohan ini, saya tertarik pada artikel Aznil Nawawi di Harian Metro Ahad lepas yang berjudul 'Pendekatan dan Natijah'.

*Anda boleh baca artikel tersebut di sini.

Selama ini saya memang mengagumi Aznil Nawawi sebagai seorang yang bekerja keras dalam menjadi seorang penghibur yang baik, tetapi Ahad lepas kekaguman saya bertambah terhadapnya sebagai seorang kolumnis. Dengan begitu bijaksana dia mengupas isu cerai-berai dan turun-naik mahkamah di kalangan artis. Sinis tapi berhemah; laksana Abang Long yang lebih dulu makan garam menasihati adik-adiknya.

Perang Linda-Fahrin yang dikontroversikan ini sepatutnya bukan sekadar dijadikan buah mulut dan ejekan semata-mata, sebaliknya menjadi cermin kepada masyarakat kita sekarang ini, kerana ia bukan sekadar berlaku di kalangan artis. Terlalu banyak kes-kes seperti ini berlaku. Semalam kata sayang, esok kata benci. Minggu lepas peluk cium, minggu ni sepak terajang. Tahun lepas rancang nak kahwin, tahun ni rancang nak cerai.

Ikut kata abah, "Diorang buat kahwin ni macam main masak-masak. Diorang tak tahu yang diorang tu sendiri separuh masak!"

Memang benar; soal kematangan penting dalam institusi perkahwinan. Nak kahwin mahu, tapi peranan masing-masing tidak tahu. Si suami kata "Awak kena hormat saya!" tapi tiada ciri-ciri pemimpin keluarga. Si isteri pula kata "I modern-day woman, okay! You jangan nak kontrol I!" Punyalah pentingkan kerjaya, makan-minum-pakai suami tak terjaga. Kalau belum sempat beranak dah cerai, satu hal. Ni dah beranak-pinak, sibuk turun-naik mahkamah. Anak-anak sudahlah tidak cukup perhatian, keperluan dan kasih sayang... ke sekolah diejek pula, "Weyh, orang panggil bapak ko Tiger Woods Malaysia kot!"... "Oi, semalam aku nampak gambar ko dengan bakal mak tiri ko kat suratkhabar, pastu mak ko mengamuk"

Apa nak jadi?

Siang tadi terdengar pula di radio mengatakan bakal suami isteri perlu menjalani kursus perkahwinan yang menekankan peranan sebagai ibu-bapa dan juga perlu menjalani sesi kaunseling kerana terdapat terlalu banyak kes dera kanak-kanak. Apa yang nak dihairankan... kalau cepat benar sayang jadi benci, kesabaran akan dengan mudahnya diganti dengan kemarahan.

Tiada agama di dunia ini yang menggalakkan kita bersikap ganas dan memupuk rasa benci. Semua agama mahu kita berkasih sayang. Golongan yang tidak beragama sekalipun tahu bertindak ikut logik akal [sayang = bahagia]. Jadi di mana silapnya?

Tatkala akhbar sibuk memampangkan isu liwat dan khalwat seolah-olah itu perkara yang paling penting di abad ini, masyarakat kita ke mana hala tujunya? Kian hari kian rakus dan serakah. Kahwin ibarat main pondok-pondok. Cuma fikir seronok hendak duduk atas pelamin pakai baju lawa-lawa.

Stop and think. You want a wedding, or you want a marriage?

Renungkanlah, dan saya tinggalkan anda dengan lagu dendangan Kopratasa yang sentiasa sedap di halwa telinga saya... baik melodi mahupun liriknya...

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi... sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana kau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku...


Sunday, February 7, 2010

'Tanda' yang Mengundang Tanda Tanya

Malam kelmarin ke Panggung Eksperiman Aswara, mengikut sahabat baik. Niatnya hendak menonton teater. Kami tiba lebih kurang pukul 7 petang, dan suasana kelihatan lengang. Saya fikir, "Mungkin perkara biasa" kerana selama ini saya hanya tiba di lokasi sesebuah persembahan dalam lebih kurang pukul 8 malam. Tapi sahabat baik saya mengatakan bahawa ia suatu keadaan yang aneh. Selalunya tempat itu sudah dipenuhi dengan tenaga produksi, makan-makan di tempat a la kafe di belakang panggung.

Sebaliknya kami mendapati bahawa tenaga produksi memenuhi ruang legar panggung. Rakan lama kami dari sekolah yang terlibat secara langsung dengan produksi tersebut [menguruskan tiket] kami tegur dengan ceria... sebaliknya dia membalas dengan senyuman duka berbaur serba salah...

"Show kensel la korang..."

Hah??

Terpinga-pinga saya dibuatnya. Sepanjang hidup saya menonton teater, tak pernah pula menghadapi situasi di mana sesebuah persembahan dibatalkan hanya 2-3 jam sebelum persembahan diadakan, lagi-lagi teater yang sudah berjalan selama 3 hari.

Apa masalahnya?

Maklumat awal yang saya terima adalah daripada tenaga produksi sendiri, melalui sahabat baik yang lebih mengenali mereka. Kata mereka pihak Aswara membatalkan persembahan tersebut kerana ada adegan yang dikatakan "tidak sesuai". Ada juga yang mengatakan pihak Aswara tidak berpuas hati kerana produksi hanya meletakkan "Dengan kerjasama Aswara" dan bukan "Aswara mempersembahkan..."

Dalam pada semua orang meluahkan rasa tidak puas hati sesama sendiri dan tenaga produksi sibuk ke hulu ke hilir menguruskan persembahan yang tidak jadi, saya berfikir seorang diri.

Mengikut sumber yang merupakan staf Aswara sendiri pula, rektor Aswara mendapat aduan mengatakan ada adegan 18SX tanpa permit serta tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni.

Aneh. Memang aneh. Bukankah teater itu sudah berjalan selama 3 hari? Jika ada adegan yang tidak sesuai untuk tontonan umum, bukankah sepatutnya ia sudah diketahui SEBELUM teater itu berjalan - kerana sepatutnya, 'tokey panggung' membuat preview terlebih dahulu, paling tidak pun menjenguk ketika full-dressed rehearsal. Mengapa dengan sambil-lewa memberi kebenaran membuat persembahan tanpa mengetahui intipati cerita?

Satu lagi perkara yang saya pelik - tiada kelulusan Aswara menggunakan nama alumni? Apa ni? Ada beberapa orang dari tenaga produksi merupakan anak didik Aswara sendiri. Mereka bangga membawa nama Aswara, dan rasa berbesar hati kerana dapat pulang semula ke sekolah mereka dan mengatakan "Nah! Sedang kumanfaatkan sijil yang kau anugerahkan!" Masakan Aswara tidak turut berbangga dengan kenyataan itu?

Tak sempat saya meleraikan segala persoalan dalam kepala saya sendiri, timbul pula desas-desus lain. Katanya Aswara setuju hendak memberikan panggung, jika mereka buang adegan yang tidak diingini... dan berikan 30% daripada hasil jualan tiket kepada mereka.

Eh?? Ini apahal pula??

Tenaga produksi yang pasrah kian pasrah. Mujurlah Datuk Zahim Al-Bakry bersimpati dengan situasi mereka, lalu menawarkan lokasi baru iaitu PGLA di Jaya One. Teater yang pada mulanya berlabel 'batal' kini berlabel 'tunda'. Lagi dua minggu.

Set berharga RM 8000 dibuka dan dikemas untuk dibawa ke lokasi baru. Ada pelakon yang mungkin tidak lagi dapat melibatkan diri kerana penundaan tarikh. Kelihatan Nam Ron selaku pengarah artistik dan Faisal Mustaffa, orang kuat Rumah Anak Teater tenang dan tabah menghadapi dugaan.

Masih dirundung pelbagai tanda tanya, saya menerjah internet mencari artikel-artikel tentang teater Tanda. Satu artikel menarik perhatian saya. Judulnya 'TANDA: Ini Bukan Teater Bodekan'... oleh Faisal Mustaffa.

Saya tersenyum sinis sendirian. Mungkin saya sudah jumpa sebab sebenar pembatalan teater Tanda...

Penulis bersama Hafiz [Chan] dan Zahiril Adzim [pelakon teater Tanda]
di depan Panggung Eksperimen Aswara pada malam pembatalan teater Tanda

Saturday, February 6, 2010

Ada Apa Dengan Mukabuku?

Mukabuku. Ataupun lebih dikenali dalam Bahasa Sanskritnya sebagai Facebook [selalu kalau orang nak buat lawak pasal bahasa, mesti kata Bahasa Sanskrit... ke saya sorang je?]

Rasanya semenjak Facebook ini menjadi kian popular, tak putus-putus saya menerima pujukan dari rakan-rakan untuk saya membuka akaun Facebook saya sendiri. Bermacam-macam hujah diketengahkan demi memujuk saya yang tetap keras hati tidak mahu membuka akaun...

Justify Full"Friendster is obsolete! Siapa guna Friendster dah sekarang ni! Macamana kau nak keep-up dengan kawan-kawan!"
...tapi masih ada syarikat 'bijak' dari Malaysia yang hendak beli Friendster.

"Bukak lah Facebook! Boleh share gambar"
...kat blog pun boleh share gambar kan?

"Kalau ada Facebook, barulah kau tahu perkembangan terkini"
...perkembangan terkini apa agaknya yang begitu ekslusif di Facebook?

"Facebook boleh bantu dalam networking"
...networking via Facebook? What happened to the human touch?

"Tak fun lah kau ni takde Facebook! Semua orang bertanya aku, ke mana kau pergi?"
...pernahkah dikau terfikir bahawa daku tidak mahu dijumpai? Wahha, fasa gila glam ku telah berakhir

Sehingga hari ini masih tiada seorang pun yang berjaya meyakinkan saya untuk membuka akaun Facebook. Baru petang tadi saya duduk berborak dengan sahabat baik tentang ini. Saya pinta dia berikan saya satu saja alasan yang cukup baik untuk saya membuka akaun Facebook. [CJ, aku tak payah tulislah alasan apa kau bagi eh? Hehe...] Niatnya memang mulia - untuk mengeratkan hubungan.

Seorang lagi sahabat lain pernah bersedih mendapat tahu berita tentang kekasih lamanya yang memetrai kasih baru. Hanya dengan satu ayat di Facebook, berjaya memberikan impak dalam hidup seseorang.

Kadangkala ia membuatkan saya terfikir, adakah teknologi seperti Facebook sebenarnya merapatkan kita atau merenggangkan kita? Kerana Facebook, tiada siapa lagi perlu mengangkat telefon dan mendengar suara. Tiada siapa lagi perlu bersua muka. Segala khabar dan gambar terang tertera. Anda ingin sampaikan salam - kotak komen tersedia! Bukan saja tuan punya dapat membaca, malah sesiapa saja yang berada di dalam rangkaiannya.

Hakikatnya kita telah menjadi generasi yang dahaga. Dahagakan perhatian dan dambakan kehidupan selebriti. Saya pernah terbaca sebuah artikel di dalam suratkhabar Star [kalau tak silap saya] tentang sindrom ini. Ia membicarakan tentang blogging, di mana lontaran suara untuk pertukaran pendapat telah bertukar menjadi diari harian untuk diberitakan ke seluruh dunia siber.

"Hari ini saya buang air besar 2 kali, buang air kecil 5 kali. Sila komen"
...kalau suruh saya komen, saya kata "Mujur boleh buang air! Kesian ada sesetengah orang tu tak boleh buang air sampai 2 hari! Seksa tu! Kui kui kui...

Jangan terasa ya. Sudah tentu bukan semua blogger begitu. Ada yang benar-benar ingin berkongsi pandangan dan meluaskan perspektif. Tabik sama anda! Malam tadi berbual dengan kenalan lama dan kenalan baru [kedua-duanya nama sama!] tentang mania blogging. Bayangkanlah, jika ada orang mengikuti blog kita, kemudian kita tidak mengikuti blog dia kembali, boleh jadi gaduh! Padahal kita tidak tahu-menahu sekalipun tentang penglibatannya dalam blog kita. Niat kita sekadar hendak menyuarakan buah fikiran. Dari mana pulanya datang isu publisiti!

Saya blogging sebagai satu lagi cabang penulisan. Hari-hari diari siber saya telah lama berlalu. Maaf jika saya tidak turut demam Mukabuku =p

Saturday, January 30, 2010

"Tumpuk-tumpuk... taik unta!"

Kepulangan dari tanah Dubai yang asalnya hanya padang pasir nan tandus, tapi kini sebuah bandar moden yang kemas dan teratur; lengkap serba-serbi. Sengaja memilih musim sejuk sebagai tempoh lawatan, ketibaan kami lebih kurang jam 2 pagi waktu tempatan di lapangan terbang Abu Dhabi disambut dengan kedinginan suhu 16 darjah Celcius. Dijemput oleh Abang Haikal [sepupu yang bagaikan abang sendiri sejak dari azali lagi] yang bermastautin di sana, kami memulakan perjalanan selama 45 minit ke Dubai.

Pengalaman bercuti di sana tak dapat dirumuskan dek kata-kata. Bandarnya cantik; maju tapi masih mengekalkan nilai-nilai estetikanya yang tersendiri. Penghuni-penghuninya juga sedap mata memandang [al-maklumler, keturuan A'rab... tapi kalau betul-betul perhati, lebih ramai warga India/Pakistan/Filipina. Macam negara kita jugaklerrr... macam lebih ramai Indon/Vietnam/Bangla. Hehe...] Cuaca musim sejuk juga sedap untuk berjalan-jalan. Barang-barang yang pelbagai menawarkan harga yang membuatkan [bak kata mama] "Duit melompat-lompat nak keluar dari dompet."

Ingin dijelaskan yang saya tidak dibayar oleh kerajaan United Arab Emirates untuk mempromosikan Dubai =p Saya cuma mengatakan ikhlas dari hati; tempat ini indah untuk dilawati dan dinikmati.

Mungkin gambar-gambar di bawah ini bisa menjadi bukti...


Pusat bandar Dubai. Bangunan a la Pyramid bernama Wafi.



Kota Atlantis mempamerkan hidupan laut beraneka rupa.



Dhow Cruise membolehkan kita menikmati Creek River.



Seberang sungai dari Creek Park.



Pemandangan dari Dubai Mall. Kelihatan asas Burj Khalifa.


Namun, hatiku tetap tertinggal di Malaysia =)

Monday, January 11, 2010

Lebam Kulit, Lebam Hati

“Every man has his secret sorrows which the world knows not; and often times we call a man cold when he is only sad.”

Itu merupakan kata-kata Henry Wadsworth Longfellow, seorang penyajak Amerika yang pernah popular satu ketika dahulu.

Setuju benarlah saya dengan kata-katanya, lagi-lagi pula kalau tepat terkena batang hidung sendiri. Saya ini orang yang jenis suka berdiam diri tatkali hati terguris. Memang saya orang yang hatinya mudah terusik. Benda yang kecil bagi orang, besar bagi saya.

Tapi tak kira seteruk manapun calarnya, saya simpan. Saya diamkan. Saya anggap macam lebam. Lama-lama hilanglah dia. Cuma perlukan masa. Kata orang, masa merawat segalanya.

Masalahnya... kadang-kadang tu... tak sempat lebam lama tu sembuh, lebam baru pula bertandang. Lebam ni kalau mengikut istilah saintifiknya, salur darah kita tercedera. Tapi sistem dalam badan kita cepat menepek [menepek? paham-paham jelah...] kembali dinding salur darah tu.

Tapi kalau dah berkali-kali, berapa pantas agaknya badan kita hendak merawatnya? Berapa lama sebelum dinding itu runtuh?

Saya tak suka berperasaan begini. Saya tak suka sikap dingin yang dipaparkan kerana memendam secebis hati yang terguris [eh... terlebih puitis sudaa...]

Hati ini seperti kulit saya juga rupanya... Lebam datang tak tahu dari mana punca, tahu-tahu sudah membengkak bagai nak gila... Namun sakitnya tak begitu terasa... Moga masa merawat segala...

Sunday, January 10, 2010

Bengkel Penulisan Skrip Drama oleh AVA

Kawasan Cheras memang memusuhi saya. Entah apa salah saya padanya, dengkinya terhadap saya begitu kuat. Sebaik saja saya mendekati, dia pakai ilmu santau peringkat tinggi manalah agaknya... saya berpusing-pusing sehinggalah sesat-barat [ini terminologi bonda saya ye...] Arghhh!!! Taktik meninggalkan rumah seawal 7.50 pagi untuk sampai tepat pada masanya gagal lagi. Waduh waduh... bersedialah menerima peluru berpandu AK nanti [jangan marah haa AK...]

Akhirnya sampai juga ke destinasi. Perisai saya apa lagi... "Ampun beribu ampun!" ler...

Alhamdulillah, sempat juga saya sampai sebelum Sofia Rhyland memulakan sesi pertama yang saya panggil 'bedah format'. Di sini Sofia telah menjelaskan tentang proposal dan juga format universal penulisan skrip. Bayangkan, sesuatu yang selalunya mengambil masa 2 minggu untuk dipelajari, 'dibedah' hanya untuk dua jam! Memang padat! Maklumatnya memang amat berguna.

Sesi seterusnya sesi 'hantam kreatif'. Sesi ini dikendalikan oleh Shahrul Ezad. Hanya dengan mendengar dia bercakap; bercerita pengalaman serta berkongsi idea sudah cukup untuk membuatkan kami semua berkobar-kobar hendak menulis skrip! Lebih menyeronokkan, dia mengajak kami sama-sama melontarkan buah fikiran untuk skripnya sendiri [oops... takleh habaq kat sini... nantikan sajalah di kaca TV nanti =p] Secara peribadi, saya dapati wavelength [dalam bahasa Melayunya apa ya? Jarak gelombang? Hehe...] saya dengannya lebih kurang sama. Ideologinya seperti biasa kudengar, tapi di mana ya... =p Lagi-lagi bab 'menongkah arus' dan 'gilap idea dengan membebel'.

Satu lagi usaha AVA yang layak diberi pujian. Dua ibu jari naik! [two thumbs-up da...]

Wednesday, January 6, 2010

Tiga Budak Bengong

Malam tadi setelah sekian lama tidak menonton wayang bersama abah dan mama, akhirnya saya berjaya mengumpan mereka. Kata saya "Ini filem Aamir Khan!" Itu saja sudah cukup untuk meyakinkan mereka. Mama- tak payah ceritalah, memang peminat Hindustan. Abah pula semakin sudah tertanam kekagumannya terhadap bakat lakonan Aamir Khan semenjak cerita Lagaan, Taare Zameen Par dan Ghajini. "Shah Rukh is a performer... but Aamir is a true actor"

Kami tidak tersilap langkah. Bermula 8.15 hingga 11.15 malam, tidak ada satu saat pun yang berlalu tanpa penuh penghayatan... baik diiring tawa mahupun airmata.

Bagaimana mahu didefinisikan cerita ini? Munna Bhai M.B.B.S/Patch Adams versi kejuruteraan? Hmm... mungkin juga. Tapi inti patinya tentang kehidupan. Perbezaan cara dan gaya menghadapi realiti.

"Life is a race." Hidup ini satu perlumbaan. Namun haruskah begitu? Itu persoalan pokok bagi filem ini. Dan apa makna hidup yang berjaya? Kereta mewah, rumah besar dan duit berkepuk? Atau kebolehan mencari kebahagiaan di setiap ceruk, tidak kiralah betapa gelap sekalipun?

"Aal izz well!!!"

Itu laungan dalam salah satu lagu di dalam filem ini, dan juga ungkapan yang menjadi moto hidup Rancho [lakonan Aamir Khan]. Jika diteliti betul-betul, maksud sebenarnya ialah "All is well." Kata watak Rancho "Hati ini cepat benar takut. Jadi ada ketika kita perlu membuat helah untuk sang hati. Ketika ketakutan memuncak, kita perlu katakan padanya- Aal izz well [semuanya baik belaka]"

Mujur tiada orang yang duduk betul-betul di sebelah saya di dalam pawagam. Kalau tidak, dia umpama menonton kartun jika melihat reaksi-reaksi saya sepanjang menonton filem 3 Idiots ini. Ada ketika saya tersenyum sendiri, tertawa sambil menepuk tangan... ada ketika pula saya melopong terkejut sambil menutup mulut dengan kedua belah tangan, kemudian air mata mengalir tanpa rasa segan.

Cerita itu, seperti kehidupan, mempersembahkan pelbagai kejutan. Tatkala ia berakhir, ia tetap kekal dalam kotak memori. Watak-watak Rancho, Raju dan Farhan seolah-olah sahabat-sahabat saya sendiri. Tiga budak bengong... =)

Friday, January 1, 2010

Sunyi dan Gelap...

Itu merupakan ayat pertama dalam lirik lagu Rendang Tak Berbuah nyanyian Hattan. Kalau teman mula menyanyikan lagu tersebut, dia akan terhenti sebelum menyanyikan ayat seterusnya... kerana dia tahu saya bersedia untuk menyakat.

"Terlantar dalam telanjang"

Ya, saya pasti maksudnya bukan literal. Tapi mungkin juga ya, kita tidak tahu. Terpulang kepada penulis lirik dan interpretasi pendengar kan? =p

Sunyi. Itu yang bergema di dalam rumah ini hari ini. Sebaik saja solat Subuh, saya turun ke bawah melayan DVD pinjam yang sudah lewat tempoh pinjamannya. Yang penting berbaloi. Kalau dah namanya lakonan Russell Crowe, pasti berbaloi kan? Lazimnya di Hollywood begitu. Aktor yang sudah tersohor bakatnya akan mula memilih skrip yang bermutu untuk dilakonkan. Ada juga yang mencuba filem avant-garde atau abstrak, kemudian mendapati mereka tersilap langkah... kerana kononnya cerita itu penuh 'jiwa' tapi audiens menggeleng kepala tanda tidak faham, dan pena pengkritik filem mula ligat menari.

Selesai menonton cerita itu [oh, jika sesiapa ingin tahu, tajuk filemnya 'A Good Year'. Mesejnya bukanlah sesuatu yang baru yang cuba disampaikan dalam sesebuah filem- Money is not everything, appreciate the simple things in life... Tapi cara penyampaiannya berbeza. Kontra kesibukan kota London dan ketenangan ladang anggur Perancis sebagai latar belakang menjadikannya menarik, ditambah pula dengan kenangan melankoli zaman kanak-kanak dengan pakcik kesayangan]...

Di mana kita tadi? Oh ya. Selesai menonton cerita itu, teman menelefon. Katanya sudah sedia hendak berangkat ke kampung halaman. Saya meletakkan telefon dengan keluhan. Haih... kesunyian semakin bergema. Turun ke bawah tadi tidak lagi disambut oleh mak yang sibuk di dapur menyediakan sarapan untuk cucu-cucunya dan semua.

Sunyi...

Berjoget pula. Sahabat CJ pasti berbangga; rasukan DDR meresap terus ke dalam jiwa... haha! Bagus juga... healthy body = healthy mind. Sesekali terpandang ke kiri dan kanan. Tiada lagi Adi Farhan dan Allysha Zulaikha yang turun dengan dua pasang mata yang masih kantuk, lalu terbaring di atas sofa sambil menonton saya berjoget. Allysha selalunya diajak menari bersama, sementara Adi Farhan cuma akan menggeleng, kemudian berkata, "After this can I play racing?"

Sunyi...

Hari semakin cerah. Saya tersenyum. Sekurang-kurangnya tidaklah sunyi dan gelap. Dan tidaklah... [sambung sendiri... hehe...]